Am 19/08/2026 11:37 PM

SUKMA 2026: Terengganu Terus Cabar Selangor Dalam Pemburuan Gelaran Juara Keseluruhan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKMA 2026: Terengganu Terus Cabar Selangor Dalam Pemburuan Gelaran Juara Keseluruhan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Terengganu terus merapatkan jurang dengan pendahulu carta, Selangor dalam pemburuan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila hanya dibezakan tiga pingat emas.

Setakat 10 malam ini, Selangor cemerlang mengungguli carta dengan 30 emas, 33 perak dan 23 gangsa, manakala Terengganu (27-27-20) diikuti Johor di tangga ketiga (21-25-20).

Kontinjen tuan rumah mengukuhkan kedudukan menerusi sukan renang dan catur yang masing-masing menyumbang empat emas, namun mereka perlu terus fokus bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan SUKMA 2026.

Terengganu pula menyerlah dalam olahraga dengan kutipan enam emas, manakala berbasikal lebuh raya dan taekwondo masing-masing menghadiahkan empat emas, sekali gus menghangatkan lagi persaingan sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai Isnin ini.

Sementara itu, di sebalik perlumbaan sengit memburu takhta juara keseluruhan, atlet menembak Pahang Cheah Zen Hong mencuri tumpuan hari ini apabila melakar sensasi dengan meraih pingat emas kelimanya pada SUKMA 2026.

Atlet berusia 20 tahun itu membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli acara 10 meter (m) air pistol individu lelaki selepas melakukan 24 tembakan untuk mengumpul keseluruhan 236.8 mata yang merupakan rekod baharu kejohanan.

Zen Hong sebelum ini meraih emas 50m free pistol individu dan berpasukan pada Isnin serta 25m rapid fire individu semalam. 

Pencapaian luar biasa itu menguatkan azam beliau untuk mengulangi pencapaian meraih tujuh emas yang pernah dilakukan sewaktu beraksi di SUKMA Sarawak sebelum ini.

Sementara itu, persaingan memburu pingat dijangka bertambah rancak esok apabila gelanggang badminton mula menawarkan pingat menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita yang pastinya menjadi tumpuan peminat sukan tanah air.

Aksi penentuan pingat emas kategori berpasukan lelaki bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan Wilayah Persekutuan dengan Pulau Pinang.

Bagi kategori berpasukan wanita pula, Selangor berpeluang menambah koleksi emas untuk menjarakkan diri di puncak carta apabila dijadualkan bertemu Pulau Pinang dalam aksi final.

-- BERNAMA