Am 19/08/2026 09:54 PM

Tiada Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Susulan Jerebu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiada Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Susulan Jerebu

SARIKEI, 19 Ogos (Bernama) -- Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Sentral Sarikei pada 25 Ogos ini hanya melibatkan majlis perhimpunan tanpa perarakan susulan keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini.

Pengerusi Penyelaras Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2026 Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata sambutan itu pada asalnya dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Sarikei, namun lokasi dan pengisian program dipinda sebagai langkah berjaga-jaga.

“Susulan perubahan itu, jumlah peserta daripada 125 kontinjen turut diselaraskan kepada antara 2,500 hingga 3,000 orang bagi menyesuaikan dengan kapasiti lokasi baharu,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, kontinjen yang telah mengesahkan penyertaan akan diminta mengurangkan bilangan peserta bagi memastikan perjalanan majlis dapat diurus dengan lebih teratur.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak berkata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menghadiri perhimpunan tersebut.

Malam sebelum itu, mereka dijadual menghadiri Majlis Kesyukuran dan Zikir di Masjid Al-Muttaqin di samping menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama masyarakat setempat, mengikuti ceramah khas oleh Mufti Sarawak Datuk Khalidi Ibrahim, berzikir dan doa serta solat Isyak berjemaah.

Abdul Rahman berkata empat acara iringan turut diadakan sempena sambutan itu termasuk Forum Perdana Ehwal Islam pada 25 Ogos, selain ceramah dan forum di masjid serta surau di seluruh Sarawak sepanjang Rabiulawal.

-- BERNAMA