KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan disaran mempertimbangkan peruntukan khas sektor pelancongan Islam di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab global pelancongan dan perdagangan Islam, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun.
Beliau berkata sokongan kerajaan penting dalam membangunkan sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) Islam yang semakin berkembang, sekali gus mampu menjana manfaat ekonomi lebih luas melangkaui sektor pelancongan.
“Ini kali pertama, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk membantu kami mempromosikan Kuala Lumpur sebagai hab global MICE Islam,” katanya dalam satu wawancara selepas tampil dalam program The Nation terbitan Bernama TV hari ini.
Mohd Khalid berkata peruntukan khusus itu dapat membantu pemain industri memperluas usaha promosi dan perniagaan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran pelancongan dan MICE Islam global yang semakin kompetitif.
Beliau berkata pelancongan Islam tidak seharusnya dilihat hanya sebagai segmen yang memenuhi keperluan pelancong Muslim, sebaliknya sebagai satu ekosistem ekonomi yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, perdagangan, kewangan Islam, penjagaan kesihatan, takaful dan produk halal.
Mohd Khalid berkata Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) berperanan sebagai platform yang menghimpunkan sektor berkenaan di bawah satu bumbung, sekali gus membuka peluang kepada syarikat, pemilik destinasi, pelabur serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjalinkan kerjasama.
“Impak ekonomi pelancongan merangkumi pelbagai sektor, daripada penerbangan, penginapan dan makanan sehingga peruncitan, pengendali pelancongan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan lain,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan teknologi dalam memperkukuh daya saing Malaysia, khususnya dengan memudahkan pelancong mengenal pasti penginapan mesra Muslim, premis makanan halal, destinasi membeli-belah dan perkhidmatan berkaitan pelancongan lain.
Katanya, potensi pelancongan Islam tidak terhad kepada negara majoriti Muslim, malah negara bukan Islam seperti China, Filipina, Vietnam, Kemboja, Thailand, Australia dan New Zealand turut menunjukkan minat untuk menarik pelancong Muslim.
WITEX 2026 yang memasuki edisi keempat akan disertai Zambia, Algeria, Mesir, Turkiye, Tajikistan, Uzbekistan, Thailand, Vietnam, Kemboja, Filipina dan China.
Acara yang akan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu turut menampilkan persidangan, sidang kemuncak menteri, konvensyen al-Quran serta Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia.
-- BERNAMA