Am 19/08/2026 03:15 PM

PKKN Berusia 100 Tahun Perlu Dipelihara - Wan Azizah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKKN Berusia 100 Tahun Perlu Dipelihara - Wan Azizah
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah), bergambar bersama bekas pesakit kusta, Tan Cheng Guan, serta hasil lukisannya ketika mengadakan kunjungan khas di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), hari ini.

SUNGAI BULOH, 19 Ogos (Bernama) -- Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang kini memasuki usia 100 tahun perlu terus dipelihara sebagai ikon sejarah perubatan negara, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata premis yang dibina pada 1926 itu telah mencatatkan pelbagai sejarah penting dalam bidang kesihatan negara.

“Walaupun kusta telah ditangani, tempat rawatan ini berada dalam lipatan sejarah. Ia menunjukkan bagaimana rawatan penyakit ini dilakukan untuk rakyat dan ia telah menjadi satu ikon.

“Kita perlu jaga, warisan ini perlu dipelihara dan disantuni,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke PKKN di Hospital Sungai Buloh, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mendengar sejarah dan peranan pusat itu dalam menangani penyakit kusta dan turut menyantuni warga kerja serta penghuninya dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian. 

Dr Wan Azizah juga menerima lukisan potret daripada seorang penghuni pusat itu. 

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) berkata selain memelihara struktur warisan fizikal, langkah menaik taraf serta meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di pusat itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

Selain itu, beliau berkata persepsi dan stigma masyarakat terhadap penyakit kusta juga kian berubah memandangkan ia bukan penyakit yang mudah menular.

PKKN pernah menjadi pusat pengasingan pesakit kusta kedua terbesar di dunia sebelum Malaysia mencapai status eliminasi penyakit itu pada 1994 dengan kadar prevalen terkini berada pada tahap 0.15 kes bagi setiap 10,000 penduduk, jauh lebih rendah berbanding sasaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

PKKN juga menjadi wad bagi menempatkan pesakit COVID-19 pada 2020.

-- BERNAMA