Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 19 Ogos (Bernama) -- Pengendali pelabuhan Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), hari ini menjelaskan bahawa laporan baru-baru ini mengenai penutupan sementara jeti tidak melibatkan penutupan atau penggantungan operasi di Pelabuhan Labuan.
MPM melalui satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata laporan tersebut yang diterbitkan hari ini oleh akhbar harian berbahasa Cina dari Sabah, menunjuk kepada “Pelabuhan Labuan” dalam tajuknya sedangkan ia sepatutnya merujuk kepada “Jeti Marina Awam”.
"Ini telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan pihak tertentu mengenai status operasi Pelabuhan Labuan," katanya.
MPM berkata Pelabuhan Labuan kekal beroperasi sepenuhnya selain terus menerima serta mengendalikan kapal-kapal yang membawa pelbagai jenis kargo dan kontena untuk pengguna termasuk sektor minyak dan gas.
"Operasi pelabuhan diteruskan tanpa gangguan, dengan kapal singgah di pelabuhan dan aktiviti pengendalian kargo berjalan seperti biasa," katanya.
Syarikat itu memberi jaminan kepada pengguna pelabuhan, operator perkapalan, pemain industri dan pihak berkepentingan lain bahawa tiada penutupan atau penggantungan operasi di Pelabuhan Labuan serta semua perkhidmatan pelabuhan diteruskan seperti biasa.
MPM berkata Pelabuhan Labuan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan barangan dan aktiviti logistik di pulau bebas cukai itu, termasuk yang memberi perkhidmatan kepada pengguna dan sektor minyak dan gas.
Ia berkata syarikat itu terus komited untuk memastikan kesinambungan, kecekapan dan kebolehpercayaan operasi pelabuhan sambil memenuhi keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan.
MPM turut merakamkan penghargaan di atas pemahaman dan sokongan berterusan semua pengguna pelabuhan, pelanggan serta pihak berkepentingan industri.
-- BERNAMA