KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Jarak tidak menghalang komuniti Malaysia di Auckland, New Zealand daripada bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Penganjuran Hikayat - Malam Teater Malaysia 2026 menerusi pementasan bertajuk “Biru” yang bertemakan semangat perjuangan dan patriotisme menggamatkan suasana di Glen Eden Playhouse Theatre, Auckland pada Ahad lepas (15 Ogos).
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Abu Bakar Mamat berkata pementasan teater anjuran Auckland Malaysian Liaison Bureau (AMB), sebuah pertubuhan pelajar di Auckland, dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand itu membawa makna yang cukup dekat dengan identiti dan semangat rakyat Malaysia.
“Sebagai satu daripada warna pada Jalur Gemilang, biru melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
“Dalam konteks sambutan Bulan Kemerdekaan, karya ini turut mengangkat erti kemerdekaan dan pembebasan, mempertahankan maruah dan jati diri, serta aspirasi untuk membina masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Program Ikram Abdul Rahim berkata teater itu mengisahkan perjuangan mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan, namun perjuangan itu turut diuji dengan pengkhianatan dan kesetiaan.
Pementasan itu turut diserikan dengan laungan “Merdeka”, serta persembahan kompang dan dikir barat.
Turut hadir wakil University of Auckland, diaspora Malaysia serta komuniti tempatan.
-- BERNAMA