KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Lebih 290,000 murid menerima manfaat menerusi Kurikulum Cha-Ching anjuran Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan kewangan dan kemahiran hidup praktikal generasi muda sejak ia diperkenal sedekad lepas.
Ketua Pegawai Pelanggan, Pemasaran dan Produk PAMB Chee Foong Wai berkata dalam tempoh sama, program berkenaan turut melatih lebih 4,600 guru bagi memperkukuh penyampaian pendidikan literasi kewangan di sekolah.
Beliau berkata Kurikulum Cha-Ching juga telah dilaksanakan di lebih 2,000 sekolah di 11 negeri sejak 2016 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Junior Achievement Malaysia, Pertubuhan Dana Kita dan Prudence Foundation.
“Melalui Kurikulum Cha-Ching, kami membantu anak-anak membentuk tabiat kewangan yang positif sejak usia muda, seterusnya memperkasa mereka untuk membuat keputusan yang termaklum, bertindak secara bertanggungjawab dan menghadapi masa depan dengan lebih yakin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, PAMB dengan kerjasama Prudence Foundation meraikan ulang tahun ke-10 pelaksanaan Kurikulum Cha-Ching menerusi Karnival Cha-Ching 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Wangsa Maju di sini.
Melangkah ke dekad seterusnya, PAMB dan Prudence Foundation berhasrat memperluas jangkauan program berkenaan, khususnya kepada komuniti yang kurang mendapat akses dan komuniti Orang Asli, di samping memperkukuh keupayaan guru supaya pendidikan kewangan dapat terus disampaikan secara kendiri serta mampan di sekolah.
Pengarah Kanan Prudence Foundation Philip Shin berkata usaha itu bertujuan membawa pendidikan kewangan kepada lebih ramai kanak-kanak dan komuniti, selain memperkasakan guru untuk terus menyampaikan ilmu berkenaan serta meluaskan pembelajaran kewangan ke rumah.
“Hasrat kami adalah untuk menjadikan literasi kewangan sebagai satu kemahiran hidup yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kanak-kanak dan terus memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan,” katanya.
Kurikulum Cha-Ching memberi tumpuan kepada empat konsep teras iaitu menjana pendapatan, menyimpan, berbelanja dan menderma bagi membantu kanak-kanak membentuk kemahiran praktikal serta tabiat kewangan positif yang boleh dimanfaatkan sepanjang hayat.
Pembelajaran berkenaan turut diperluas melangkaui bilik darjah menerusi Cha-Ching Money Adventure, iaitu platform interaktif dalam talian yang membolehkan ibu bapa dan anak-anak meneroka konsep kewangan bersama-sama.
-- BERNAMA