Am 19/08/2026 10:23 PM

JAIP Sasar Semua Premis Makanan R&R LPT Pahang Miliki Sijil Halal Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JAIP Sasar Semua Premis Makanan R&R LPT Pahang Miliki Sijil Halal Tahun Ini
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman (hadapan) menampal stiker pensijilan halal pada premis makanan ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Zon Halal R&R Gambang (Arah Barat), hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyasarkan semua premis makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang jajaran Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di negeri ini memperoleh sijil halal menjelang hujung tahun ini.

Pengarah JAIP Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata sasaran itu bagi memberikan keyakinan kepada pengguna, khususnya umat Islam, terhadap aspek kebersihan, keselamatan dan sumber makanan yang disediakan.

"Setakat ini, terdapat 50 premis makanan di sepanjang LPT memperoleh pensijilan halal. R&R Temerloh Timur dan Barat serta Genting Highlands telah diisytihar sebagai Zon Halal.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan 100 peratus premis di R&R sepanjang jajaran LPT mendapat sijil halal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Zon Halal R&R Gambang Arah Barat, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil kerjasama dengan pengendali LPT, AFA Prime Berhad, inisiatif Zon Halal di R&R Gambang itu semakin melengkapkan ekosistem halal di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Ahmad Khirrizal berkata JAIP bersedia memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada pengusaha di Pahang yang berminat mendapatkan pensijilan halal, selain mencadangkan bantuan kewangan sebagai insentif, tertakluk kepada peruntukan Belanjawan Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata setakat ini terdapat 595 premis berkaitan makanan di seluruh Pahang yang mempunyai pensijilan halal, merangkumi pelbagai skim termasuk premis makanan, produk, pengilangan (OEM) dan rumah sembelihan.

-- BERNAMA