Am 19/08/2026 04:44 PM

Nur Iskandar Dilantik Pengerusi Baharu Islamic Relief Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nur Iskandar Dilantik Pengerusi Baharu Islamic Relief Malaysia
Kredit: FB - Islamic Relief Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) melantik Datuk Nur Iskandar A. Samad sebagai pengerusi baharu Lembaga Pemegang Amanah, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang meletakkan jawatan pada 4 Ogos atas faktor kesihatan dan nasihat perubatan bagi menumpukan kepada proses pemulihan serta kesejahteraan diri.

Dalam kenyataan hari ini, IR Malaysia memaklumkan Lembaga Pemegang Amanah menerima keputusan Syed Saleh dan merakamkan penghargaan atas kepimpinan serta sumbangan beliau terhadap misi kemanusiaan organisasi itu.

“Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan IR Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman atas khidmat, kepimpinan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada organisasi,” menurut kenyataan itu.

Nur Iskandar mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri minyak, gas dan petrokimia, termasuk memegang pelbagai jawatan kanan di Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Vantris Energy Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, dari 2023 hingga 2025, dan mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek, operasi pembuatan dan pembangunan kepimpinan.

Sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia sejak 2022, Nur Iskandar telah membantu organisasi dan misi kemanusiaan sebelum menyertai lembaga berkenaan.

Menurut IR Malaysia, pengalaman luas beliau dalam organisasi serta bidang korporat dan kepimpinan akan membantu memperkukuh usaha kemanusiaan dan tadbir urus organisasi.

“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan pelantikan Datuk Nur Iskandar A. Samad sebagai pengerusi baharu dan berharap kepimpinan serta bimbingan beliau dapat membantu IR Malaysia terus memperkasakan misi kemanusiaan serta memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus baik, kebertanggungjawaban dan integriti,” menurut kenyataan itu.

Nur Iskandar berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Leeds, United Kingdom, dan pernah berkhidmat dalam Majlis Penasihat Industri Universiti Sains Malaysia serta Universiti Teknologi PETRONAS.

Ditubuhkan pada 2004, IR Malaysia menjalankan kutipan dana dan melaksanakan projek kemanusiaan tempatan serta antarabangsa sebagai sebahagian daripada rangkaian Islamic Relief, yang beroperasi di lebih 40 negara dan membantu lebih 145 juta orang.

-- BERNAMA