Am 19/08/2026 03:16 PM

Insentif Tambahan RM1 Juta Perkukuh Pembangunan Sukan Angkat Berat - PABM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Insentif Tambahan RM1 Juta Perkukuh Pembangunan Sukan Angkat Berat - PABM
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat.

SUBANG, 19 Ogos (Bernama) -- Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan insentif tambahan RM1 juta diumumkan kerajaan semalam sebagai suntikan penting bagi memperkukuh pembangunan sukan itu, khususnya dalam aspek pencarian bakat. 

Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya amat menghargai keprihatinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap perkembangan sukan itu dan komitmen tinggi kerajaan untuk memastikan pembangunan sukan angkat berat negara dapat diteruskan.

“Kita bersyukur hasrat kita telah ditunaikan oleh kerajaan serta berterima kasih atas keprihatinan dan kerana memahami sukan angkat berat,” katanya kepada Bernama di sini. 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kerajaan meluluskan bantuan tambahan lebih RM1 juta kepada PABM susulan pencapaian cemerlang sebagai penyumbang pingat terbesar kontinjen negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan kutipan tujuh pingat.

Ayub berkata peruntukan itu tidak berbentuk tunai sebaliknya disalurkan menerusi program pembangunan termasuk peningkatan kualiti jurulatih, peralatan bersesuaian serta usaha memperkasakan keupayaan barisan kejurulatihan.

Beliau berkata PABM mempunyai senarai program yang perlu dilaksanakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) akan memantau pelaksanaannya.

Selain itu, Ayub berkata pihaknya berusaha supaya angkat berat menjadi sebahagian daripada sukan dipertandingkan dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak beberapa tahun lepas, namun perkara itu belum diputuskan. 

“Langkah ini penting kerana sebahagian besar bakat baharu sukan angkat berat datang dalam kalangan pelajar sekolah yang membuka ruang kepada PABM memperluas pencarian bakat pada peringkat akar umbi,” katanya.

Ayub berkata PABM berhasrat menjadikan kejohanan itu sebagai perintis kepada kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan sukan angkat berat diperkenalkan sebagai antara pilihan sukan pada peringkat sekolah.

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, skuad angkat berat negara meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa. 

Pingat emas disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan menerusi kategori 60 kilogram, Muhamad Aznil Bidin (65 kg), Muhammad Erry Hidayat (79 kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88 kg) dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali (94 kg). 

-- BERNAMA