KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bermula sekadar mahu mempelajari seni silat bagi mempertahankan diri daripada menjadi mangsa buli, siapa sangka keputusan itu akhirnya membuka jalan buat atlet Melaka Muhammad Danish Asyraaf Asuwandi mencipta kejayaan dalam sukan berkenaan.
Atlet berusia 17 tahun itu meraih emas dalam kategori putera bawah 45 kilogram (kg) selepas menewaskan pesilat Pulau Pinang Ihsan Zulfaqar Mohd Izwan 25-19 pada aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
“Pada mulanya, saya tak nak belajar silat sebab saya lebih minat sukan bola sepak. Lagi satu saya minat silat kerana saya selalu dibuli di sekolah. Selepas itu, jurulatih tertarik dengan saya dan mengajak saya menyertai silat,” katanya yang menceburi sukan silat seawal usia 9 tahun.
Pesilat pelapis kebangsaan itu berkata emas berkenaan sangat bermakna kerana ini adalah penampilan pertamanya pada temasya dwitahunan itu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih yang berjuang habis-habisan membantu saya sejak kecil hingga besar,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Muhammad Danish Asyraaf ketika mengulas mengenai masa depan kariernya berkata selepas ini beliau akan memberi tumpuan kepada pelajaran bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Menurut Muhammad Danish Asyraaf, selepas menduduki SPM tumpuannya akan kembali kepada silat dengan menyasarkan untuk meraih emas jika berjaya mewakili negara pada Sukan SEA 2027.
-- BERNAMA