KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat daripada sembilan acara yang disertai pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Presiden MESF Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata Malaysia mengesahkan penyertaan dalam sembilan daripada 11 acara e-sukan yang dipertandingkan pada temasya sukan berprestij itu dan yakin barisan atlet negara mampu memperbaiki pencapaian edisi lepas.
Beliau berkata Honor Of Kings (HOK) yang menjadi asas kepada Arena of Valor (AOV) ketika Malaysia meraih perak pada Sukan Asia Hangzhou 2022, sekali lagi menjadi antara sandaran utama negara selain E-Racing, E-Football, Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
“Yang penting kami mahu membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat untuk negara. Memang kami mengharapkan satu emas tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan yang lebih kepada atlet.
“Ini kali kedua e-sukan berada dalam Sukan Asia dan kami mahu memperbaiki rekod yang lepas,” katanya pada sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) ke Tempat Latihan Sukan bagi Persiapan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Muhammad Naim berkata HOK diharapkan sekurang-kurangnya mampu menyamai pencapaian pingat perak pada edisi lepas, namun mengakui perjalanan pasukan turut bergantung kepada undian pertandingan.
Sementara itu, pengurus pasukan Amir Syafiq berkata kontinjen e-sukan negara ke Jepun terdiri daripada 44 atlet dan lapan jurulatih dengan hampir keseluruhan barisan kali ini adalah muka baharu.
“Boleh dikatakan 99 peratus muka baharu. Dalam e-sukan, perubahan terlalu cepat dan dalam tempoh empat tahun terlalu banyak perubahan berlaku. Jadi, tahun ini kami bawa ramai muka baharu,” katanya.
Beliau berkata proses pemilihan atlet dibuat berdasarkan merit dan berbeza mengikut permainan, termasuk mengambil kira kedudukan dalam liga profesional bagi acara seperti MLBB, HOK dan PUBG Mobile.
Bagi E-Racing, pemilihan dalaman dijalankan oleh bekas pelumba Formula Satu negara Alex Yoong manakala Identity V pula mempertaruhkan pasukan yang konsisten mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.
Muhammad Naim ketika mengulas kehadiran Alex dalam skuad negara berkata MESF sudah bekerjasama dengan bekas pelumba berkenaan sejak lebih dua tahun lepas dan berpuas hati dengan sumbangannya terhadap pembangunan E-Racing.
“Kami memang dari awal lagi, sudah dua tahun lebih bekerjasama dengan Alex Yoong kerana beliau begitu komited dalam E-Racing dan mempunyai studio miliknya sendiri. Sepanjang lebih dua tahun bekerjasama, beliau memberikan komitmen yang sangat baik dan saya melihat persediaan serta prestasi atlet semakin meningkat,” katanya.
-- BERNAMA