KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia melahirkan kira-kira 1,500 hingga 2,000 graduan setahun menerusi program pendidikan dan latihan kemahiran yang ditawarkan, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Beliau berkata jumlah itu disasarkan meningkat kepada antara 6,000 hingga 7,000 pelajar setahun menerusi peluasan kerjasama dengan institusi pendidikan serta pelaksanaan program Akademi Dalam Industri (ADI).
“Usaha berkenaan selaras dengan komitmen McDonald’s Malaysia untuk memperkukuh pembangunan bakat tempatan serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri makanan dan minuman, dengan syarikat sendiri yang memerlukan kira-kira 20,000 pekerja setiap tahun.
“Pendekatan ini juga selari dengan saranan kerajaan supaya industri menjadi rakan aktif dalam membangunkan bakat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, dengan memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia keenam di sini.
Beliau berkata McDonald’s Malaysia telah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia dan institusi pendidikan bagi mempromosikan program ADI supaya lebih ramai belia, khususnya dari luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan berpeluang menyertai program di Akademi Vokasional McDonalds Malaysia.
Azmir berkata termasuk kumpulan graduan kali ini, akademi vokasional itu telah melahirkan hampir 5,500 graduan dalam bidang perkhidmatan makanan dan hospitaliti sejak 2018, sekali gus membuka peluang kepada golongan muda untuk membina kemahiran, keyakinan dan masa depan kerjaya yang lebih jelas.
“Kami percaya setiap anak muda berhak mendapat peluang untuk membina masa depan, tanpa mengira latar belakang atau titik permulaan mereka. Melalui Akademi Vokasional McDonald’s, kami mahu membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan kelayakan yang boleh membuka lebih banyak peluang untuk terus berkembang.
“Apabila kira-kira 80 peratus graduan terus bersama McDonald’s dan lebih 250 telah berkembang ke jawatan penyeliaan dan pengurusan, ia menunjukkan bahawa peluang pertama boleh menjadi permulaan kepada kerjaya yang lebih besar,” katanya.
Selepas tamat latihan, graduan mempunyai laluan perkembangan kerjaya yang tersusun, bermula sebagai kru sebelum berkembang menjadi ketua kru, penolong pengurus restoran dan seterusnya pengurus restoran selain, berpeluang menyertai latihan lanjutan dan membina kerjaya dalam peranan operasi atau korporat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Datuk Zainal Abas berkata kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri penting untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta membantu anak muda beralih dengan lebih yakin daripada alam pembelajaran kepada dunia pekerjaan.
“TVET berkeupayaan untuk menyediakan laluan daripada pembelajaran kepada pekerjaan dan perkembangan kerjaya serta membentuk karakter diri. Selain itu, penglibatan industri turut memainkan peranan penting bagi memastikan latihan kekal relevan dengan keperluan sebenar tempat kerja.
“Program seperti Akademi Vokasional McDonald’s menunjukkan bagaimana pembelajaran, pengalaman praktikal dan kelayakan yang diiktiraf boleh digabungkan untuk menyediakan golongan muda agar terus berkembang serta menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 359 graduan menerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia tahap tiga.
Bagi graduan Akademi Vokasional McDonald’s Rozel Iswandi, 19, peluang mengikuti latihan kemahiran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga membuka ruang kepadanya untuk mengembangkan kerjaya bersama McDonald’s.
Biarpun tidak menamatkan persekolahan, anak Orang Asli dari Kampung Sungai Genting, Chenderiang, Tapah, Perak itu membuktikan bahawa sijil kemahiran mampu menjadi laluan untuk membina kerjaya yang lebih baik.
“Saya tidak pernah terfikir akan berpeluang menghadiri majlis konvokesyen. Syukur, melalui Akademi Vokasional McDonald’s saya berpeluang merasai pengalaman itu dan seterusnya dilantik sebagai ketua kru,” katanya.
Penerima Anugerah Perantis Cemerlang (Teori) Nur Alina Amira Abdul Rahim berkata latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan mendorongnya untuk terus berusaha meningkatkan kerjaya bersama McDonald’s menerusi pemilikan SKM.
“Saya tidak pernah terfikir berpeluang menyambung pengajian dan amat bersyukur kerana peluang bekerja di McDonald’s selama tiga tahun memberi saya ruang untuk mempelajari kemahiran serta memperoleh sijil,” katanya.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata beliau turut berusaha membina kerjaya yang lebih baik bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarganya, selain merancang menyambung pengajian ke peringkat diploma.
-- BERNAMA