KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Baru berusia 14 tahun dan membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Lim You mencuri tumpuan apabila meledak tujuh gol ketika membantu skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan membelasah Arab Saudi 9-0 pada aksi Kumpulan A Piala Srikandi Merdeka 2026 di Kudus, Indonesia, semalam.
Lebih menarik kesemua tujuh jaringan itu disudahkan menggunakan kaki kiri, kelebihan yang menurut You digilap oleh bapanya sejak kecil kerana menyedari tidak ramai pemain memiliki keistimewaan berkenaan.
You berkata latihan berterusan bersama bapanya membuatkan beliau semakin selesa menggunakan kaki kiri dan kini menganggapnya sebagai antara kelebihan utama dalam permainan beliau.
“Sejak kecil lagi, ayah banyak melatih saya menggunakan kaki kiri kerana tidak ramai pemain boleh menggunakan kaki kiri dengan baik. Ia satu kelebihan dan saya bertuah memiliki kelebihan itu.
“Tujuh gol itu bukan hasil usaha saya seorang kerana rakan sepasukan yang menghantar bola kepada saya, dan saya hanya menyempurnakan gerakan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Dalam pada itu, You mengakui penampilan kali pertama bersama Malayan Tigress turut hadir dengan cabaran tersendiri apabila berdepan kekangan komunikasi pada peringkat awal kerana kurang fasih berbahasa Melayu.
Bagaimanapun, pemain muda itu bersyukur dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan menikmati pengalaman pertamanya menyarung jersi negara.
“Sejujurnya, ada sedikit tekanan, tetapi bola sepak adalah permainan yang sangat saya minati. Saya sentiasa teruja setiap kali melangkah ke padang tanpa mengira siapa lawan bakal dihadapi,” katanya.
Dilahirkan di Taiwan sebelum berpindah ke Amerika Syarikat, You mempunyai pertalian rapat dengan Malaysia menerusi kedua-dua ibu bapanya yang dilahirkan dan dibesarkan di Johor.
Pemain yang kini menetap di Washington itu berkata keluarganya masih mempunyai saudara-mara di Johor dan Kuala Lumpur, selain akan pulang ke Malaysia setiap dua atau empat tahun sekali untuk mengunjungi mereka.
Pada aksi semalam, You yang berketinggian 165 sentimeter (cm) membuka tirai jaringan pada minit kelapan sebelum menambah gol pada minit ke-22, '27, '57, '75 (penalti), '83 dan '85.
Dua lagi gol skuad negara masing-masing disumbangkan Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani pada masa tambahan separuh masa pertama dan Ku Nur Qalesysha Qaisara Ku Zainon pada minit terakhir perlawanan untuk melengkapkan kemenangan.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua dengan empat mata, terikat dengan Hong Kong namun mara ke separuh akhir menerusi kelebihan perbezaan gol.
Malaysia sebelum itu membuka kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Hong Kong sebelum tewas 0-3 kepada tuan rumah.
Menanti Malaysia pada aksi separuh akhir Jumaat ini ialah juara Kumpulan B, dengan Thailand, Jordan dan Singapura masih berpeluang merebut kedudukan itu menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.
-- BERNAMA