Am 19/08/2026 05:55 PM

SC Galak Syarikat Besar Tidak Tersenarai Lakukan Dwipenyenaraian Di Malaysia, Hong Kong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SC Galak Syarikat Besar Tidak Tersenarai Lakukan Dwipenyenaraian Di Malaysia, Hong Kong
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang mengenal pasti syarikat besar Malaysia yang tidak tersenarai dan ingin menggalakkan mereka untuk mempertimbangkan dwipenyenaraian di Malaysia dan Hong Kong bagi meluaskan akses kepada pelabur antarabangsa.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang serantau kepada syarikat Malaysia, terutamanya bagi yang ingin mendapatkan pendedahan kepada kumpulan pelabur yang lebih besar.

Beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan Hong Kong membolehkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang dikeluarkan dan disemak di Malaysia diiktiraf di Hong Kong tanpa memerlukan prospektus berasingan.

“Kami sedang mengenal pasti syarikat besar yang tidak tersenarai di Malaysia dan cuba menarik perhatian mereka dengan mengatakan, ‘bukankah menarik jika IPO anda juga ditawarkan di Hong Kong pada masa yang sama?’

“Jadi, jika ada daripada anda sedang berfikir untuk menerbitkan IPO, anda perlu tanyakan kepada penasihat anda sama ada ia langkah taktikal untuk turut menyenaraikan sebahagian daripada saham tersebut di Hong Kong pada masa yang sama,” kata Mohammad Faiz semasa berucap pada program Jelajah Semicon SC Penang, bertajuk ‘Memperkasakan SemiCons: Membiayai Kejayaan Anda yang Seterusnya', di sini, hari ini.

Beliau berkata pengiktirafan Hong Kong terhadap prospektus yang disemak oleh Malaysia juga mencerminkan keyakinan terhadap rangka kerja kawal selia pasaran modal negara.

Mohammad Faiz menjelaskan pengaturan itu dapat mengurangkan kos dan kerumitan bagi syarikat untuk menyediakan prospektus berasingan bagi kedua-dua pasaran.

Inisiatif itu, katanya, juga sejajar dengan fokus Pelan Induk Pasaran Modal untuk mencari peluang serantau dan membantu syarikat Malaysia mendapatkan akses yang lebih besar kepada pelabur global.

Mohammad Faiz juga berkata syarikat semikonduktor Malaysia harus mempertimbangkan pasaran modal sebagai sumber pembiayaan untuk menyokong pertumbuhan, terutamanya bagi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, bakat, peralatan dan keupayaan teknologi.

Katanya, pembiayaan bank tradisional mempunyai batasan terutamanya bagi syarikat yang memerlukan modal atau pembiayaan jangka panjang untuk inovasi baharu yang besar dan projek dengan tempoh matang yang lebih lama.

Syarikat boleh memanfaatkan pelbagai saluran pembiayaan bergantung pada peringkat pertumbuhan mereka, termasuk pendanaan awam ekuiti, pembiayaan rakan setara, modal teroka, pasaran ekuiti dan bon korporat, katanya.

-- BERNAMA