KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Identiti tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi sudah dikenal pasti.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mangsa ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
“Seorang lagi yang terlibat iaitu isteri mangsa berusia 55 tahun sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata dua lelaki iaitu pemandu lori JIM dan pemandu kereta Proton Saga masing-masing berusia 43 dan 50 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu direman sehari hingga esok bagi membantu siasatan.
Sementara itu, anak saudara mangsa Zaid Darfis, 39, berkata pakciknya itu datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi ibunya (ibu mangsa) di Semenyih, Selangor.
“Arwah sempat menghubungi ibu mertua saya untuk memberitahu keluarganya sudah tiba di Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi,” katanya.
Tinjauan Bernama di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur mendapati ahli keluarga dan saudara mara mangsa berada di hospital berkenaan.
Difahamkan jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan di Jalan Pahang, di sini untuk diuruskan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.
Turut berada di Hospital Kuala Lumpur ialah Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamsha Injau.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Tiga mangsa berkenaan yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– BERNAMA