Am 15/08/2026 07:08 PM

MAIPk Nafi Halau Peniaga, Isu Tunggakan Bil Air RM100,000 Perlu Diselesaikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MAIPk Nafi Halau Peniaga, Isu Tunggakan Bil Air RM100,000 Perlu Diselesaikan
Syamsul Hazeman Md Salleh. fb Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

IPOH, 15 Ogos (Bernama) --  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menafikan dakwaan menghalau peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dekat sini, seperti yang tular melalui media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata notis telah dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan tanggungjawab institusi itu susulan masalah kebocoran paip utama dan tunggakan bil air kira-kira RM100,000 yang perlu diselesaikan.

"Isu itu sudah dijelaskan kepada peniaga menerusi sesi libat urus yang diadakan pada 14 Julai lepas termasuk keperluan memutuskan bekalan air sementara bagi membolehkan kerja pembaikan bekalan air dan penyelesaian tunggakan bil dapat dilakukan.

"Jadi, tidak ada istilah kita (MAIPk) menghalau atau meminta peniaga mengosongkan tapak. Notis itu lebih kepada memaklumkan kedudukan dan menjaga supaya institusi MAIPk tidak dikenakan tuntutan yang tidak sepatutnya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Konvensyen Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perak Tahun 2026 oleh Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Syamsul Hazeman berkata pihaknya menerima hak milik tanah berkenaan pada 2024 dan hanya selepas itu mendapati wujud masalah lama membabitkan kebocoran paip utama serta tunggakan bil air yang tinggi.

Beliau berkata tunggakan bil air itu bukan berpunca daripada penggunaan bekalan air oleh peniaga kerana mereka hanya membayar berdasarkan penggunaan masing-masing, sebaliknya masalah berlaku pada saluran paip utama yang membekalkan air ke premis terbabit.

"MAIPk hanya mewarisi masalah lama dan kita sedang berbincang dengan Lembaga Air Perak untuk mencari penyelesaian berhubung tunggakan bil air ini. Perkara ini bukan mudah kerana ia di luar kemampuan MAIPk, selain kita tidak boleh menggunakan sumber zakat atau wakaf untuk tujuan (membayar tunggakan bil) seperti ini,” katanya.

Syamsul Hazeman berkata MAIPk turut mendapatkan bantuan dan pandangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan dan yakin terdapat jalan penyelesaian namun ia memerlukan sedikit masa.

Beliau berkata sekiranya tunggakan berjaya diselesaikan, MAIPk akan meneruskan kerja pembaikan di tapak terbabit sebelum menguruskan semula urusan sewaan dengan peniaga menerusi kontrak baharu.

Ditanya mengenai pembinaan Kompleks Jabatan Agama Islam Perak di tapak berkenaan, beliau memaklumkan peniaga perlu berlapang dada untuk memberi laluan sekiranya projek terbabit dilaksanakan.

“Namun, kita tidak tahu bila projek itu akan dilaksanakan, kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk urusan terbabit. Sekiranya sudah tiba masanya projek itu dibangunkan, peniaga perlu berlapang dada dan memberi laluan kepada projek," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna akaun Threads mendakwa MAIPk tidak memberi sebarang notis pengosongan premis perniagaan di situ sebaliknya terus memotong bekalan air yang digunakan peniaga terlibat.

-- BERNAMA