JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan memperkenalkan Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor bernilai RM1,000 pada tahun hadapan bagi membantu rakyat negeri itu yang menghadapi kesukaran menyediakan wang pendahuluan kediaman.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) itu hasil keprihatinan kerajaan terhadap rintihan penyewa, khususnya mereka yang baru bekerja berkaitan deposit rumah.
Beliau berkata permohonan inisiatif itu juga akan dibuka kepada penjawat awam Persekutuan seperti guru, jururawat, pegawai perubatan serta anggota polis dan tentera yang berkhidmat untuk rakyat di negeri itu.
“Kita lihat selain bantuan sewa, ada rintihan yang meminta bantuan kerajaan untuk mempertimbangkan bantuan deposit sewa rumah, terutamanya apabila baru mula bekerja. Mungkin ramai yang belum mampu,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 5 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.
Beliau berkata fasa pertama bantuan deposit sewa rumah itu menyasarkan kira-kira 10,000 penerima, dengan takrifan kelayakan merangkumi individu yang bermastautin dan bekerja di Johor.
Penerima yang layak juga akan menerima Bantuan Sewa Rumah bernilai RM2,500 menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM3,500 seorang.
Selain itu, Onn Hafiz berkata perincian lanjut dan produk perumahan baharu akan dibentangkan dalam Belanjawan Johor pada November depan.
Pada majlis itu, sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Fasa 5 inisiatif tersebut yang merangkumi 6,000 penerima pelbagai bantuan perumahan manakala Fasa 6 dijadualkan pada bulan depan melibatkan 5,000 penerima.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri Johor membelanjakan RM337 juta bagi agenda perumahan sejak 2022 yang memberikan manfaat kepada hampir 100,000 penerima di negeri itu.
-- BERNAMA