BUKIT MERTAJAM, 14 Ogos (Bernama) -- Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam kelompok 250 hospital paling hijau di dunia menerusi penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pencapaian itu sekali gus mengiktiraf komitmen HBM dalam melaksanakan amalan penjagaan kesihatan mesra iklim dan kelestarian alam sekitar.
"Lebih membanggakan, HBM terpilih menewaskan ribuan hospital lain dari 36 negara dalam edisi sulung ini, yang mengiktiraf institusi kesihatan negara atas komitmen luar biasa dalam penjagaan kesihatan mesra iklim dan kelestarian alam sekitar.
“Ini membuktikan bahawa agenda Sustainable Healthcare di KKM bukanlah sekadar kempen, tetapi satu usaha nyata dan berterusan dalam membina hospital yang lebih hijau, cekap dan bersedia untuk masa depan,” menurut KKM dalam hantaran di Facebook hari ini.
KKM turut mengucapkan syabas kepada seluruh warga kerja HBM dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, yang menjadi tulang belakang kejayaan kelestarian berkenaan.
-- BERNAMA