MOSCOW, 14 Ogos (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Pihak berkuasa Venezuela merancang untuk mendapatkan semula jongkong emas bernilai US$4 bilion yang disimpan di Bank of England, menurut Financial Times pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Kerajaan dan pembangkang dilaporkan dalam kenyataan bersama berkata mereka sedang berusaha “untuk mendapatkan semula aset rizab antarabangsa Venezuela yang disimpan di Bank of England.”
Dana itu akan digunakan bagi pembinaan semula susulan gempa bumi baru-baru ini, selain memulihkan kesan sekatan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan itu.
Sejak 2018, United Kingdom (UK) enggan mengiktiraf kerajaan Venezuela, sekali gus menyekat akses negara itu kepada 31 tan emas yang disimpan dalam bilik kebal Bank of England.
Bank of England dilaporkan sedang menunggu kepastian dari segi undang-undang mengenai pihak yang akan mengawal rizab emas itu selepas dikembalikan kepada Venezuela.
Seorang tokoh pembangkang yang tidak dinamakan memberitahu akhbar itu bahawa pihak berkuasa Venezuela dan pembangkang sedang mengusahakan satu “mekanisme ketelusan” bagi mengelakkan emas berkenaan daripada disalahgunakan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI