KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan itu berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor.
Yang turut hadir ialah isteri Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif.
Pada pertemuan itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menerima persembahan kek dan pulut kuning daripada pengurusan tertinggi serta warga Istana Negara.
Azmi yang mewakili seluruh warga Istana Negara mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda semoga dikurniakan keafiatan dan kebahagiaan berpanjangan.
-- BERNAMA