Am 14/08/2026 09:20 PM

MB Negeri Sembilan Ismail Dilantik Pengerusi Baharu NSFC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:

SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dilantik sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC) berkuat kuasa hari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata pelantikan itu dibuat susulan peletakan jawatan bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun daripada jawatan berkenaan.

“Datuk Ismail bukan nama asing dalam arena bola sepak Negeri Sembilan. Beliau pernah bersama pasukan ini sebagai pengurus pasukan dan memahami nilai serta identiti yang dibawa oleh bola sepak negeri.

“Kini beliau kembali dalam kapasiti berbeza untuk memimpin NSFC sebagai Pengerusi. Saya yakin pengalaman dan kepimpinannya mampu membantu pasukan meneruskan pembangunan kelab secara profesional, mampan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail pernah berkhidmat sebagai pengurus pasukan negeri pada era 1990-an dan awal 2000-an, selain pernah memegang jawatan Naib Presiden PBNS pada 2010.

Tunku Syed Razman berkata sebagai Pengerusi NSFC, Ismail diyakini mampu menerajui hala tuju strategik kelab serta memperkukuh kerjasama antara NSFC, PBNS, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan bola sepak secara menyeluruh.

-- BERNAMA