Am 14/08/2026 10:05 PM

Dua Lelaki Ditahan Curi Kabel Elektrik Sekolah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Lelaki Ditahan Curi Kabel Elektrik Sekolah
Kredit: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak

IPOH, 14 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel elektrik membabitkan kerugian kira-kira RM50,000 di sebuah sekolah di Chenderong Balai, Hilir Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata kedua-dua suspek itu ditahan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kira-kira 3.30 pagi tadi hasil siasatan dan risikan yang dijalankan.

Beliau berkata pihak polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki yang mewakili pihak sekolah kira-kira 12.40 tengah hari pada Rabu lepas memaklumkan kabel elektrik yang dipasang di kawasan blok sekolah telah dipotong dan dicuri. 

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk peralatan memotong kabel, kabel elektrik dan sebuah kenderaan.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 14 Ogos dan perintah reman telah dibenarkan hingga Isnin ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihati pihak sekolah, pemilik premis dan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap harta benda dan kemudahan awam, khususnya kabel elektrik serta barangan yang mudah menjadi sasaran pencuri.

“Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis untuk tindakan segera kerana kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis mencegah dan membanteras kegiatan jenayah,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. 

-- BERNAMA