Am 14/08/2026 11:59 PM

Dua Warga Emas Cedera, Kenderaan Dihempap Pokok Tumbang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Warga Emas Cedera, Kenderaan Dihempap Pokok Tumbang
Pix: JBPM Pahang

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) -- Dua warga emas cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dihempap pokok tumbang di Jalan Chamang, Bentong petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai insiden itu pada kira-kira 2 petang sebelum polis bersama-sama agensi penyelamat bergegas ke lokasi.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan warga tempatan, masing-masing seorang lelaki berusia 62 tahun dan wanita berusia 60 tahun.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri atau berada di kawasan yang mempunyai pokok tumbang atau berisiko bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Segera laporkan sebarang kejadian pokok tumbang atau ternampak pokok yang berbahaya kepada pihak berkuasa atau agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA