KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Johan Panglima (M) Sdn Bhd, anak syarikat Resintech Bhd dengan kepentingan 55 peratus, berjaya memperoleh kemudahan pembiayaan berjangka Komoditi Murabahah berjumlah RM41 juta daripada Alliance Islamic Bank Bhd.
Kemudahan itu bagi tujuan penebusan tanah selain membiayai sebahagian daripada kos pembangunan asrama dan ruang runcit di Selangor.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar paip dan kelengkapan plastik itu memaklumkan ini bagi penebusan empat bidang tanah di Mukim Telok Panglima Garang, Kuala Langat selain membiayai sebahagian daripada 80 peratus kos pembinaan pembangunan yang dicadangkan.
“Ini (dijangka) tidak memberi sebarang impak terhadap modal saham terbitan syarikat serta pegangan saham pengarah serta pemegang saham utama berikutan kemudahan itu tidak melibatkan penerbitan saham biasa yang baharu,” menurutnya.
Cadangan pembangunan itu merangkumi sebanyak 158 buah unit asrama, empat ruang runcit, sebuah kantin serta kemudahan lain.
Dari segi impak kewangan, Resintech memaklumkan kemudahan pembiayaan itu dijangka meningkatkan nisbah hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2027.
Kumpulan itu juga menegaskan tiada seorang pun daripada kalangan pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan syarikat mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kemudahan berkenaan .
Pada masa sama, kemudahan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak kawal selia.
“Pihak Lembaga Pengarah selepas mengambil kira semua aspek penerimaan pembiayaan itu juga berpendapat ini demi kepentingan terbaik kumpulan Resintech,” menurutnya.
-- BERNAMA