MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini terus memperkukuh hubungan kedua-dua negeri.
Pejabat Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan memaklumkan Hajiji tiba bersama dengan rombongan pada 3.35 petang dan disambut oleh Mohd Ali sebelum kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan Sabah dan Melaka.
"Kunjungan ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan dan bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan Sabah dan Melaka," menurut kenyataan itu.
Turut mengiringi Hajiji ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar serta Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Mohd Razali Mohd Razi.
Pertemuan kedua-dua pihak diakhiri dengan jamuan petang.
-- BERNAMA