Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah ditutup rendah pada Jumaat, didorong oleh ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.
Awal hari ini, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0835/0895 berbanding dolar AS daripada 4.0850/0890 semasa ditutup semalam.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh permintaan daripada pengguna yang lemah dan persaingan harga yang sengit dalam pasaran automotif domestik China.
“Permintaan terhadap kenderaan domestik China yang lemah terus menjadi kebimbangan walaupun jualan di luar negara lebih kukuh, mengehadkan jangkaan pertumbuhan permintaan jangka pendek,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya harga minyak mentah yang tinggi memberikan sedikit sokongan.
“Harga minyak meningkat sedikit berikutan ancaman AS untuk mengenakan sekatan laut terhadap Iran yang mewujudkan semula kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan minyak mentah,” katanya.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent melonjak 0.95 peratus kepada US$87.90 setong.
Sementara itu, pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menurun tujuh sen kepada 909 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 3.50 sen kepada 688.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA