Dunia 14/08/2026 05:55 PM

Mural “Remembering  Australia Place” Momento Pegun Rai Persahabatan Sabah-australia  

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mural “Remembering  Australia Place” Momento Pegun Rai Persahabatan Sabah-australia  
Foto: Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Di tengah bandar raya Kota Kinabalu, di suatu sudut dikenali orang tempatan sebagai 'Australia Place', kini diabadikan coretan berwarna-warni meraikan sejarah perkongsian, persahabatan dan hubungan rakyat dengan rakyat antara Sabah dan Australia yang telah terjalin merentasi beberapa dasawarsa. 

“Remembering Australia Place”, mural pada bangunan Wisma Intiutama itu telah dilancarkan pada Jumaat sehari sebelum sambutan Hari Sandakan iaitu hari memperingati sejarah perang yang dikongsi antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata karya seni itu mencerminkan persahabatan puluhan tahun lamanya, pertukaran budaya, perkongsian komuniti dan kerjasama antara warga Australia dan Sabah.

“Mural ‘Remembering Australia Place’ menceritakan kisah rakyat Australia dan Sabah yang acap kali berkumpul selama beberapa dekad sebagai sahabat dan rakan kongsi yang erat.

"Karya seni ini merakamkan kisah insan yang hayatnya telah menghubungkan kedua-dua negara kita dan berperanan sebagai peringatan kekal tentang ikatan kukuh yang terus membentuk perkongsian kita hari ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia.

Heinecke turut disertai Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah pada pelancaran itu, dihadiri ahli parlimen, pemimpin masyarakat dan alumni universiti Australia.

Direka dan dilukis oleh pertubuhan seni masyarakat tempatan Pillars of Sabah, mural itu menggunakan penceritaan kreatif untuk menggambarkan nilai perkongsian persahabatan, ketabahan, kerjasama dan hubungan rakyat dengan rakyat yang menyokong hubungan Australia-Malaysia.

Bagi pengasas bersama Pillars of Sabah Jared Abdul Rahman, mural itu mengandungi hubungan peribadi beliau dengan kedua-dua negara.

Bapa Jared berketuruan Sabah manakalanya ibunya berasal dari Tasmania, Australia.

Pasangan itu bertemu di Australia semasa bapanya belajar di sana di bawah Rancangan Colombo.

Jared berkata projek berkenaan mencerminkan warisan Malaysia dan Australia serta menghimpunkan generasi berbeza masyarakat tempatan.

“Sebagai artis dengan latar belakang Malaysia dan Australia, saya amat berbesar hati mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk merealisasikan karya seni yang meraikan kedua-dua belah warisan budaya saya.

“Melalui karya seni ini, adalah sangat bagus untuk mengumpulkan generasi berbeza masyarakat Kota Kinabalu, terutamanya pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, untuk merenung sejarah perkongsian kami yang membanggakan dengan Australia,” kata Jared, yang tinggal di Kota Kinabalu.

Hari Sandakan mengenang keberanian, pengorbanan, penderitaan dan 2,434 tawanan perang yang terkorban semasa Kawad Maut Sandakan dalam Perang Dunia II, serta keberanian dan pengorbanan rakyat Sabah yang mempertaruhkan nyawa mereka demi membantu tawanan perang dan usaha mereka untuk menyelamatkan diri.

-- BERNAMA