Am 13/08/2026 05:33 PM

Pelaksanaan Syor RCI TH Perlu Patuh Garis Masa, Fokus Indikator Prestasi - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelaksanaan Syor RCI TH Perlu Patuh Garis Masa, Fokus Indikator Prestasi - Pakar
Dr Muhammad Irwan Ariffin

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja perlu mematuhi garis masa dan pelan tindakan, tetapi juga penilaian indikator prestasi yang jelas bagi memastikan keberkesanannya secara konkrit.

Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata pelaporan perkembangan pencapaian syor perlu dibuat secara konsisten bagi mengurangkan ketidakpastian serta memulihkan jangkaan pendeposit.

Beliau berkata perkara itu penting memandangkan keputusan ekonomi dan tindakan masyarakat bukan sahaja dipengaruhi oleh situasi kewangan sebenar, tetapi juga sangat terikat dengan jangkaan serta persepsi.

Katanya, sebarang kelemahan dalam penyampaian maklumat atau penangguhan pelaksanaan syor tanpa penjelasan sewajarnya akan memberi ruang negatif yang menimbulkan kegusaran awam.

"Apabila timbul maklumat yang tidak jelas, ia boleh mencetuskan tindakan terburu-buru dalam kalangan pendeposit, termasuk pengeluaran simpanan secara tidak wajar yang sepatutnya tidak berlaku," katanya ketika dihubungi menerusi program REAKSI terbitan Bernama Radio hari ini.

Mengulas mengenai reformasi tadbir urus dan tatakelola, Muhammad Irwan berkata kerangka sedia ada perlu diteliti semula secara berkala bagi membuka ruang pembaharuan dari dalam organisasi.

Beliau menekankan bahawa kriteria pelantikan ahli lembaga pengarah institusi berkenaan mestilah berteraskan kepakaran dan kebenaran seperti yang disyorkan oleh RCI, selain mempunyai pengasingan tugas yang jelas antara badan pengurusan dan jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan juga perlu terbukti bebas daripada konflik kepentingan dan tekanan politik, di samping mematuhi piawaian perakaunan yang ketat,” katanya.

Dari sudut prinsip ekonomi Islam, Muhammad Irwan berkata cadangan pembaharuan tersebut menterjemahkan nilai amanah, keadilan dan kepatuhan hifz al-mal (perlindungan harta), manakala penambahbaikan tadbir urus adalah tindakan sadd al-dhari'ah atau mencegah kerosakan sebelum ia berlaku.

Beliau berkata tadbir urus yang baik membolehkan TH menentukan jumlah keuntungan sebenar yang diperoleh serta menentukan jumlah rizab dan hibah yang selamat untuk diagihkan.

"Penilaian pelaburan tidak boleh terhad kepada status halal atau haram sesuatu produk dan kontrak semata-mata, tetapi perlu lebih inklusif dengan mengambil kira bagaimana keputusan tadbir urus dibuat bagi memelihara amanah pendeposit," katanya.

Bagi mendapatkan keyakinan generasi muda, Muhammad Irwan menyarankan penyediaan laporan kewangan yang lebih telus dan terbuka, di samping usaha memperkasakan literasi kewangan agar pendaftaran haji dapat dibuat pada usia lebih awal.

“Generasi muda juga semakin celik kewangan dan mengambil berat tentang bagaimana dana mereka diuruskan, menyebabkan ketelusan mengenai penyata kewangan, risiko dan tadbir urus semakin penting,” katanya.

Mengenai strategi pelaburan jangka panjang, Muhammad Irwan mengesyorkan pendekatan diversifikasi portfolio yang seimbang antara aset stabil dan cair dengan aset pertumbuhan berpotensi pulangan tinggi.

-- BERNAMA