KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 menyasarkan penyertaan 400 usahawan kraf, terdiri daripada 300 usahawan tempatan dan 100 antarabangsa dari lebih 20 negara, yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 24 Sept hingga 5 Okt ini.
Kraftangan Malaysia memaklumkan penyertaan itu dijangka membuka peluang jaringan perniagaan, kerjasama strategik dan penerokaan pasaran baharu antara pemain industri kraf tempatan dan antarabangsa.
MICF 2026 turut menampilkan demonstrasi kraf dari enam negara iaitu China yang mengetengahkan seni Ukiran Jade, New Zealand (Ukiran Maori), Uzbekistan (Jewellery Art), Sri Lanka (Beeralu Lace Work), Indonesia (Seni Kulit) dan India (Tarkashi Brass Inlay).
Demonstrasi kraf tempatan pula melibatkan 10 individu terdiri daripada Adiguru Kraf dan usahawan kraf.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan secara langsung kepelbagaian teknik dan kehalusan seni kraf dari pelbagai negara,” menurut kenyataan Kraftangan Malaysia.
Selain menawarkan pelbagai jualan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia, MICF 2026 turut menyediakan pelbagai tarikan menerusi pengisian seperti Pameran, Ekspresi dan Eksplorasi Kraf, Bicara Kraf Antarabangsa, Peragaan Fesyen Antarabangsa, Persembahan Kesenian dan Aktiviti Galakan Pengunjung.
Pelbagai aktiviti turut dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik, antaranya Masakan Menu Tradisi, Pertandingan Reka Cipta Baju Kurung dan Baju Kebaya, Pertandingan Koir, Pertandingan Seni Kreatif Kompang, Treasure Hunt, Pertandingan Tarian Warisan Malaysia (Zapin dan Caklempong), Pertandingan Nyanyian Warisan Malaysia, Persembahan Tarian Tradisional dan Kontemporari, Pertandingan Ratu Kebaya, Kejohanan Silat Seni serta Sayembara Dikir Barat.
MICF 2026 dijadualkan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari penganjurannya.
Majlis prapelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man, semalam.
-- BERNAMA