Am 13/08/2026 06:45 PM

Jerebu: Penutupan Sekolah Di Serian Dilanjut Hingga Jumaat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Penutupan Sekolah Di Serian Dilanjut Hingga Jumaat
Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Sungai Sameran memasang notis yang menyatakan "Sekolah Tutup Susulan Jerebu" melanda kawasan tersebut pada 12 Ogos.

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Penutupan sementara sekolah-sekolah yang terjejas akibat jerebu di kawasan Serian dilanjutkan sehingga esok. 

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan keputusan itu dibuat susulan satu sesi libat urus bersama pengetua serta guru besar sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian.

“Keputusan ini dibuat agar tidak membebankan pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta murid-murid terutamanya yang melibatkan sekolah berasrama.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut JPNS menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) bagi memantau tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan atau daerah masing-masing.

Menurut APIMS, Serian merekodkan IPU 178 setakat 4 petang ini, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat akibat jerebu rentas sempadan.

-- BERNAMA