PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima 30 usul strategik daripada industri pembinaan untuk dipertimbangkan sebagai input Belanjawan 2027, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti, penggunaan teknologi dan daya saing industri pembinaan negara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata usul berkenaan akan diteliti dan diperhalusi bagi memastikan ia selari dengan falsafah Ekonomi MADANI dalam memangkin pertumbuhan berimpak tinggi serta melindungi ekosistem industri.
Katanya bagi Belanjawan 2027, KKR menetapkan lima agenda transformasi sektor pembinaan sebagai asas permohonan kementerian, termasuk pengukuhan rangkaian jalan raya dan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Beliau berkata agenda lain ialah pembangunan mampan selaras dengan peralihan tenaga negara; pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0 melalui Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI); pemerkasaan kontraktor tempatan G1 hingga G4 serta pengukuhan keselamatan jalan raya menerusi MYJalan.
"Ini bukan lima agenda yang bergerak secara berasingan tetapi sebahagian daripada satu perubahan besar terhadap cara kita merancang, membina, mengurus dan menyelenggara infrastruktur negara," katanya ketika merasmikan Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 KKR bersama penggiat industri pembinaan di sini hari ini.
Nanta berkata KKR mahu mengubah pendekatan daripada sekadar melihat jumlah perbelanjaan kepada impak yang dapat dihasilkan daripada setiap peruntukan kerajaan.
Beliau berkata industri pembinaan perlu meningkatkan keupayaan menerusi BIM, AI, teknologi hijau, Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan inovasi supaya syarikat tempatan tidak hanya bersaing berdasarkan harga.
Sebaliknya, katanya persaingan perlu berasaskan produktiviti, teknologi, kualiti dan penciptaan nilai bagi membolehkan pemain industri tempatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi serta menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata sehingga 6 Ogos lepas, KKR menerima 117 usul berkaitan isu industri dan cadangan input Belanjawan 2027, termasuk 87 usul khusus daripada penggiat industri.
Nanta berkata maklum balas berkenaan antaranya menyentuh keperluan memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kontrak, membangunkan tenaga kerja lebih berkemahiran dan inklusif serta menangani kos operasi, bahan dan logistik.
Selain itu, beliau berkata industri turut membangkitkan keperluan mempercepat penerapan kelestarian, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penggunaan bahan tempatan.
Nanta berkata kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada kontraktor kecil, firma perunding, pekerja serta pemain tempatan termasuk dalam aspek aliran tunai, kemahiran, akses teknologi, proses kelulusan, utiliti dan penyelenggaraan jalan.
"Tidak semua kontraktor dan firma bermula dari kedudukan yang sama. Jika lantai kita kukuh, lebih ramai pemain industri akan mempunyai peluang untuk naik ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Nanta berkata kekangan peruntukan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menurunkan sasaran pembangunan, sebaliknya menuntut kerajaan dan industri menjadi lebih kreatif dalam menentukan keutamaan.
"Matlamat kita bukan sekadar bekerja mengikut kemampuan. Matlamat kita ialah memaksimumkan impak daripada kemampuan yang kita ada," katanya.
KKR menerima dana keseluruhan sebanyak RM10.692 bilion pada Belanjawan 2026, peningkatan 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9.607 bilion dikhususkan di bawah Bajet Pembangunan (DE) bagi membiayai projek-projek baharu dan kesinambungan infrastruktur sedia ada.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Okt depan.
-- BERNAMA