PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap peruntukan lebih tinggi dapat diberikan kepada kementerian itu dalam Belanjawan 2027 berbanding tahun sebelumnya bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata permohonan itu dibuat berdasarkan keperluan sebenar kementerian, meskipun KKR memahami kedudukan ekonomi semasa serta langkah kerajaan mengurus perbelanjaan secara berhemat.
"KKR mohon peningkatan (peruntukan) sebab terdapat keperluan. Bukan suka-suka kita mohon. Kita faham juga keadaan ekonomi dan sebagainya, tetapi mengambil kira keperluan rakyat, kita perlu memohon lebih berbanding 2026," katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 KKR, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim.
Nanta berkata keputusan mengenai jumlah peruntukan bagaimanapun terletak pada Kementerian Kewangan dan KKR bersedia menerima sekiranya terdapat keperluan untuk mengehadkan peruntukan.
Beliau berkata kementerian pada masa sama tidak boleh hanya bergantung kepada peningkatan sumber kewangan, sebaliknya perlu meningkatkan kecekapan pelaksanaan supaya setiap peruntukan menghasilkan impak terbaik kepada rakyat.
"Kita mencari ruang dan peluang bagaimana kita boleh menjadi lebih cekap dan efisien. Dengan peruntukan yang mungkin tidak begitu mencukupi, tetapi kalau kita lebih efisien, kita masih boleh menyampaikan hasil yang terbaik," katanya.
Mengenai pengagihan peruntukan berdasarkan enam agenda transformasi sektor pembinaan KKR, Nanta berkata ia tidak akan dibuat secara sama rata kerana setiap agenda mempunyai keperluan berbeza.
Enam agenda yang dicadangkan KKR bagi Belanjawan 2027 ialah Pengukuhan Rangkaian Jalan Raya dan Projek Berimpak Tinggi; Pemerkasaan Pembangunan Mampan selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); Pemerkasaan Ekosistem Pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0; Pembangunan Kapasiti Tempatan; Pengukuhan Keselamatan Jalan Raya menerusi MYJalan; serta Penambahbaikan Peraturan dan Pemantapan Modal Insan.
Sementara itu, Nanta berkata harga bahan binaan setakat ini secara keseluruhannya masih stabil berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), meskipun pemain industri membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan kos.
Beliau berkata data berkenaan menunjukkan terdapat kenaikan harga, namun kadarnya tidak sampai satu peratus dan tidak setinggi yang dirasakan oleh sebahagian pemain industri.
Selain itu, KKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut mendapatkan maklumat daripada pembekal bagi meneliti keadaan sebenar harga bahan binaan.
Terdahulu, Nanta berkata sesi dialog yang dihadiri 150 wakil pemegang taruh dan agensi merupakan platform untuk KKR mendapatkan pandangan pemain industri pembinaan sebagai input dalam menyediakan permohonan kementerian bagi Belanjawan 2027.
Antara isu utama dibangkitkan industri ialah kos bahan binaan, kos operasi, tenaga buruh dan percukaian.
-- BERNAMA