Ekonomi 11/08/2026 05:57 PM

TH Perlu Kurangkan Kebergantungan Terhadap Pendapatan Sukuk UJSB -- Ahli Parlimen Bentong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TH Perlu Kurangkan Kebergantungan Terhadap Pendapatan Sukuk UJSB -- Ahli Parlimen Bentong
Ahli Parlimen Bentong (PH) Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan diminta memperincikan langkah untuk mengurangkan kebergantungan Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas pendapatan sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang menurut Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyumbang hampir 26 peratus daripada pendapatan tahunan institusi itu.

Ketika mengetengahkan cadangan itu, Ahli Parlimen Bentong (PH) Young Syefura Othman berkata kebergantungan terhadap syarikat tujuan khas (SPV) itu sebagai risiko kewangan yang masih perlu diurus ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan langkah berkaitan penebusan awal sukuk berkenaan.

“Kita mahu TH (mampu) berdiri kukuh kerana kekuatan portfolio dan tadbir urusnya sendiri,” katanya ketika sesi perbahasan penerangan Menteri mengenai Laporan RCI berkaitan TH dan usaha serta tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Penerangan itu telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Selain itu, Young Syefura juga meminta kerajaan mendedahkan jumlah keseluruhan kerugian atau rosot nilai daripada 14 keputusan pelaburan terdahulu yang dikenal pasti RCI untuk diaudit secara forensik kerana melibatkan kemerosotan nilai aset yang signifikan.

Pelaburan itu termasuk yang melibatkan TH Plantations Bhd, TH Properties Sdn Bhd, FGV Holdings  serta beberapa syarikat dan pelaburan lain, selain turut mempersoalkan jumlah yang masih boleh dipulihkan dan status pelaksanaan audit forensik.

Beliau turut menegaskan sekiranya terbukti wujud unsur kecuaian, salah guna kuasa atau pecah amanah dalam pelaburan berkenaan, maka pihak bertanggungjawab perlu dikenal pasti dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Young Syefura mencadangkan agar aspek penyeliaan kewangan dan pelaburan TH turut diperkukuhkan dengan melibatkan institusi seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan untuk memastikan setiap pelaburan besar TH diteliti menerusi penilaian risiko bebas dan proses usaha wajar yang ketat manakala pelantikan ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi pula perlu berasaskan prinsip “fit and proper” atau layak dan berwibawa.

-- BERNAMA