Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 11 Ogos (Bernama) -- Kabinet Thailand meluluskan cadangan untuk meningkatkan tahap keselamatan sekolah sebagai "agenda nasional" susulan insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi pada 7 Ogos.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Kapt Patdarasm Thongsaluaykorn berkata Kementerian Pendidikan mengemukakan cadangan itu bagi memperkukuh langkah pencegahan dan tindak balas sistematik terhadap insiden di institusi pendidikan, sekali gus menjamin keselamatan pelajar, guru dan warga pendidik di seluruh negara.
“Sebagai langkah serta-merta, kementerian mengeluarkan garis panduan keselamatan sekolah bertarikh 10 Ogos yang mewajibkan institusi pendidikan mewujudkan ‘Zon Keselamatan Sekolah’, menubuhkan Pusat Perlindungan Hak, Kebebasan dan Keselamatan, merangka dan menjalankan latihan simulasi kecemasan, serta berkoordinasi dengan pihak polis dan agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Langkah berkenaan turut merangkumi pemeriksaaan dan saringan ketat terhadap senjata, barang larangan serta objek berbahaya sebelum memasuki kawasan sekolah, di samping sokongan kesihatan mental yang meliputi kesejahteraan fizikal dan psikologi pelajar, guru serta warga pendidik.
Patdarasm berkata kementerian juga mempertingkatkan kawalan dan bantuan kepada pihak yang terjejas menerusi kerjasama dengan pakar psikologi, Fakulti Psikologi Universiti Chulalongkorn serta Pasukan Penilaian dan Rawatan Krisis Kesihatan Mental (MCATT) daripada Jabatan Kesihatan Mental.
“Pihak kementerian sedang menyediakan ‘Bilik Selamat’ bagi membantu memulihkan kesejahteraan mental serta mempersiapkan guru dan ibu bapa untuk memberikan jagaan sewajarnya kepada pelajar sebelum mereka kembali mengikuti sesi persekolahan seperti biasa,” katanya.
Bagi jangka panjang, beliau berkata Kementerian Pendidikan sedang merangka undang-undang induk berkaitan keselamatan sekolah bagi mewujudkan sistem kawalan pelajar yang mampan, di samping memantau serta menilai kesihatan mental mereka yang terjejas, termasuk saringan bagi gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) pada selang masa satu, tiga dan enam bulan.
“Kerajaan tidak berpeluk tubuh dan tidak akan menunggu sesuatu insiden berlaku sebelum mengambil tindakan. Sebaliknya, ia akan mempercepatkan langkah pencegahan, kesiapsiagaan serta jagaan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu juga akan berkoordinasi dengan semua kementerian yang menyelia institusi pendidikan untuk mengguna pakai langkah keselamatan berkenaan, bertujuan mewujudkan piawaian seragam di seluruh negara serta memberi jaminan kepada kanak-kanak, guru dan ibu bapa bahawa sekolah mestilah menjadi ruang yang selamat untuk setiap anak belajar dan membesar.
Jumaat lepas, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Sekolah Debsirin Nonthaburi didakwa menembak mati datuk dan neneknya pada waktu subuh sebelum melepaskan tembakan di sekolah, mengorbankan enam guru dan kakitangan sekolah.
Seramai 21 yang lain cedera dalam insiden amukan berkenaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan, dengan lapan daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Suspek kemudiannya ditemukan meninggal dunia di sekolah berkenaan dengan kesan tembakan di kepala.
-- BERNAMA