KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan asas kepada reformasi menyeluruh institusi itu dan bukan sekadar berakhir sebagai sebuah laporan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata isu itu menyentuh amanah, integriti serta pertanggungjawaban terhadap simpanan hampir 10 juta umat Islam di negara ini dan tidak boleh dianggap sebagai kelemahan pengurusan biasa.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata ABIM menyokong langkah pengukuhan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang merangkumi kriteria kelayakan kepimpinan, mengelakkan pelantikan ahli politik aktif dalam Lembaga TH serta mengenakan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan.
“TH bukan milik kerajaan atau pembangkang, sebaliknya amanah umat Islam Malaysia dan tidak seharusnya dijadikan senjata pertarungan politik kepartian. Setiap dapatan mesti dinilai berdasarkan fakta, bukti, undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata ABIM menyambut baik siasatan susulan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta berharap proses itu dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan laporan RCI TH yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini.
Beliau berkata sekiranya terdapat keraguan terhadap dapatan RCI atau penjelasan kerajaan, Dewan Rakyat merupakan medan terbaik untuk perkara itu dipersoalkan dan dicabar secara terbuka.
“Semak dan imbang yang berkesan menuntut keberadaan, penghujahan dan keberanian berdepan fakta. Perpaduan yang sebenar ialah keberanian mempertahankan institusi umat, menegakkan kebenaran dan memastikan kesalahan yang sama tidak berulang," katanya.
Sidang Dewan Rakyat hari ini membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sidang khas itu membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan setebal 211 halaman itu yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai selepas kerajaan memutuskan perkara itu perlu diketahui rakyat.
-- BERNAMA