KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Memastikan kepincangan yang menjejaskan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak berulang menjadi antara fokus utama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, dengan Ahli Parlimen menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan pembaharuan menyeluruh dilaksanakan dalam tadbir urus institusi berkenaan.
Sepanjang lebih 10 jam bersidang tanpa henti sejak 10 pagi bagi sesi penerangan dan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH, Dewan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pendeposit serta mengembalikan sepenuhnya keyakinan terhadap institusi pengurusan haji itu.
Antara yang dibangkitkan ialah keperluan menyegerakan pindaan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], memperkukuh pengawasan terhadap pelaburan dan pengurusan kewangan serta memastikan kepimpinan TH kekal profesional selain bebas daripada campur tangan politik.
Ahli-Ahli Parlimen turut menggesa supaya dapatan RCI disusuli siasatan menyeluruh dan telus bagi memastikan pihak yang terbukti melakukan salah laku atau menyebabkan kerugian kepada TH dipertanggungjawabkan.
Semasa membentangkan laporan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pelaksanaan pelan pemulihan dan reformasi sejak 2018 telah membantu mengembalikan TH ke landasan lebih kukuh menerusi pemulihan kedudukan kewangan, pengukuhan tadbir urus serta peningkatan kualiti pelaburan.
Reformasi itu turut memastikan kemampuan umat Islam menunaikan ibadah haji terus dipelihara, dengan kos berjaya dikekalkan pada kadar RM33,300 selama tiga musim berturut-turut dari 2024 hingga 2026.
Ketika menggulung perbahasan, beliau berkata kekuatan sesebuah institusi tidak boleh bergantung kepada individu sebaliknya perlu berasaskan sistem, proses, kawalan dan tadbir urus yang jelas.
“Setiap keputusan dibuat berlandaskan undang-undang, dasar, prosedur, prinsip semak dan imbang serta kepentingan pendeposit... ringkasnya, individu boleh berubah tetapi sistem dan prinsip tadbir urus mesti kekal bagi memastikan amanah pendeposit sentiasa dilindungi,” katanya.
Memperkukuh keyakinan rakyat berhubung tindakan susulan terhadap penemuan suruhanjaya berkenaan, Zulkifli berkata siasatan telah dimulakan oleh pihak berkuasa yang membawa kepada penahanan beberapa individu terkait dakwaan salah laku seperti suapan, salah guna kuasa dan pelanggaran tadbir urus.
Beliau juga berkata penangguhan penzahiran Laporan RCI oleh Kerajaan MADANI adalah untuk memberi peluang kepada TH melaksanakan syor yang dicadangkan, dan ruang serta masa bagi memulihkan institusi itu.
Selain isu tadbir urus, dimensi kewangan TH turut menjadi perhatian Ahli Dewan apabila Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memperinci kerugian hampir RM13 bilion membabitkan 14 pelaburan bermasalah termasuk tujuh yang mencatat kerugian 100 peratus.
Ketika menggulung perbahasan, beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM10.2 bilion ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 manakala RM2.6 bilion lagi adalah rosot nilai yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.
Antara pelaburan yang diketengahkan ialah dengan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd membabitkan pembayaran 1.4 bilion riyal Saudi, bersamaan RM1.5 bilion, kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penempatan jemaah haji.
Bagaimanapun, pihak berkenaan tidak melunaskan bayaran sewa yang sepatutnya diterima TH sehingga menyebabkan institusi itu terpaksa membuat rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1 bilion pada 2024.
Penjelasan mengenai skala kerugian itu memperkukuh gesaan sepanjang perbahasan supaya setiap dapatan RCI disusuli siasatan menyeluruh dan telus terhadap sebarang salah laku atau kelemahan dalam pengurusan serta pelaburan TH.
Dalam pada itu, kerajaan turut menyambut baik cadangan mewujudkan pasukan petugas pelbagai agensi atau multi-agency task force untuk menyiasat setiap pelaburan yang berisiko mengalami kerugian.
“Keseluruhannya, tindakan kerajaan adalah jelas, iaitu menyiasat, mengambil tindakan penguatkuasaan, memulihkan aset serta memperkukuh undang-undang dan tadbir urus bagi memastikan amanah serta kepentingan pendeposit TH terus dilindungi,” katanya.
Sejumlah 39 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan mesyuarat khas berkenaan.
Terdahulu, tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan serta tidak menyertai perbahasan mengundang kritikan selain disifatkan sebagai kegagalan wakil rakyat memainkan peranan semak dan imbang serta memboikot amanah lebih 10 juta pendeposit TH.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai tahun ini.
-- BERNAMA