Ekonomi 12/08/2026 01:05 AM

Kerajaan Sentiasa Jelaskan Hutang Yang Dibuat - Amir Hamzah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Sentiasa Jelaskan Hutang Yang Dibuat - Amir Hamzah

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) –- Kerajaan sentiasa memastikan hutang kerajaan dijelaskan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata hutang kerajaan berbentuk sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan bil perbendaharaan, misalnya selalu dibayar oleh kerajaan.

Amir Hamzah menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sekiranya kerajaan tidak dapat memberikan komitmen jaminan sukuk, yang diterbitkan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

UJSB yang ditubuhkan pada 14 Dis 2018 merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dengan misi menyelamatkan aset yang diperoleh daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Amir Hamzah turut menjelaskan kerajaan juga telah menstruktur semula sukuk bon kupon sifar TH kepada sukuk dengan agihan keuntungan tahunan untuk memenuhi obligasi pembayaran bagi sukuk bernilai RM27.5 bilion yang diterbitkan oleh UJSB.

“Struktur sukuk yang diterbitkan pada 2018 itu adalah bon kupon sifar, jadi pulangannya diterima pada penghujung tarikh matang sukuk tersebut.

 

PENEBUSAN SUKUK, TH DAPAT PULANGAN RM8 BIL

 

“Pada masa itu, sukuk yang diterbitkan bernilai RM19.6 bilion, tetapi nilai sukuk apabila matang adalah RM27 bilion. Perbezaan kira-kira RM8 bilion itu merupakan pulangan kepada TH,” beliau berkata semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat hari ini.

“Dengan pulangan tersebut, TH dapat menanggung pemberian hibah setiap tahun. Pulangan yang diberikan bagi sukuk pertama adalah kira-kira 4.05 peratus, manakala sukuk kedua ialah kira-kira 4.1 peratus,” jelas beliau lagi. 

Amir Hamzah juga berkata penstrukturan ini bermakna nilai hibah yang diberikan adalah lebih tinggi, dan pulangannya juga agak banyak berbanding sekiranya dana berkenaan dilaburkan dalam sekuriti yang diterbitkan oleh kerajaan. 

“Kita mahu memastikan pulangan kepada TH mencukupi dan lebih baik daripada pulangan yang diberikan sebelum ini,” jelasnya.

Cadangan daripada RCI juga menyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya pulangan daripada bon kupon sifar itu boleh ditukar kepada bayaran tunai.

“Jadi, apabila kita menstruktur semula sukuk pertama dan sukuk kedua, kita menukarkannya daripada bon kupon sifar kepada sukuk yang membayar kupon setiap tahun. Pulangannya adalah 3.86 peratus, lebih tinggi daripada pulangan sekuriti kerajaan yang lebih kurang 3.6 peratus.

Bagi sukuk ketiga pula, Tabung Haji menerima pulangan kira-kira RM440 juta setiap tahun. Itu merupakan pulangan kepada Tabung Haji.

-- BERNAMA