IPOH, 11 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata terhadap seorang warga emas di sebuah rumah di Langkap dekat Teluk Intan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata polis menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 69 tahun yang mendakwa disamun oleh individu tidak dikenali pada 3 Ogos lepas.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi, suspek yang bersenjatakan parang dipercayai telah merampas seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan, dengan kerugian dianggarkan RM6,000.
“Susulan laporan tersebut, siasatan dan risikan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 32 tahun kira-kira 2.30 pagi hari ini di Slim River.
“Polis turut merampas semula seutas gelang tangan emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Chua berkata suspek direman selama tujuh hari hingga 17 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Chua berkata dua remaja lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes pecah masuk sebuah kedai alatan memancing di sekitar Jalan Changkat Jong, Teluk Intan telah ditahan polis.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai berkenaan selepas mendapati premisnya telah diumpil dan dipecah masuk pada 30 Julai lepas dengan pemeriksaan mendapati sejumlah peralatan memancing hilang dengan kerugian kira-kira RM8,000.
“Susulan laporan tersebut, polis telah menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 13 dan 19 tahun menerusi dua serbuan berasingan.
“Hasil siasatan, polis berjaya merampas semula sejumlah barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya menambah kedua-dua suspek bakal dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok.
-- BERNAMA