Ekonomi 12/08/2026 12:19 AM

Kelulusan Belian Putrajaya Perdana Berlaku Ketika Syarikat Masih Di Bawah Kawalan Jho Low

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kelulusan Belian Putrajaya Perdana Berlaku Ketika Syarikat Masih Di Bawah Kawalan Jho Low

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Keseluruhan proses kelulusan pembelian 30 peratus kepentingan dalam Putrajaya Perdana Bhd oleh Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2014 berlaku dalam tempoh syarikat itu dikatakan masih berada di bawah kawalan Low Taek Jho atau Jho Low melalui UBG Bhd (Utama Banking Group Bhd).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini berdasarkan keterangan bersumpah yang direkodkan dalam kes SRC International.

“Mengikut keterangan bersumpah Pengarah Putrajaya Perdana Bhd Datuk Rosman Abdullah, SRC International telah menyalurkan RM170 juta kepada anak syarikat Putrajaya Perdana (iaitu Putra Perdana Construction) dalam tiga peringkat antara Julai dan Ogos 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata keterangan itu menyatakan bahawa selagi penjualan syarikat berkenaan oleh UBG belum selesai, yang hanya berlaku pada 13 April 2015, Putrajaya Perdana terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG.

“Kalau kita teliti betul-betul kronologi tarikh perkara ini, panel pelaburan lulus pada 24 Julai 2014; lembaga pada 25 Ogos; menteri pada 27 Ogos dan perjanjian jual beli ditandatangani pada 3 Dis 2014. 

“Setiap proses kelulusan dan perjanjian jatuh dalam tempoh dinyatakan keterangan tersebut,” katanya bagi menjawab isu yang dibangkitkan bebarapa Ahli Parlimen antaranya Muar, Putrajaya dan Port Dickson berhubung kaitan Putrajaya Perdana dengan Jho Low.

Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan mahkamah tidak membuat sebarang penemuan bahawa Jho Low ialah pemilik benefisial Putrajaya Perdana pada ketika itu, dan perkara itu kekal sebagai keterangan bersumpah dalam rekod.

Beliau berkata berdasarkan rekod penilaian fakta pada 2023 pula, Panel Pelaburan TH pada 24 Julai 2014 telah meminta pihak pengurusan mengenal pasti identiti pemegang saham muktamad penjual, namun penilaian itu tidak merekodkan sebarang jawapan daripada pihak pengurusan dan urus niaga berkenaan tetap diteruskan.

"TH membayar RM193.5 juta kepada Cendana Destini Sdn Bhd pada Disember 2014 bagi memperoleh 30 peratus ekuiti dalam Putrajaya Perdana, berasaskan dua janji iaitu syarikat berkenaan akan disenaraikan semula dalam tempoh setahun dan mencapai keuntungan RM86 juta pada 2015.

"Malangnya, kedua-dua janji ini gagal dicapai dan RCI merekodkan Pengerusi TH ketika itu turut memegang jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana," katanya.

Cendana Destini Sdn Bhd merupakan syarikat kenderaan pelaburan milik Pengarah Putrajaya Perdana Bhd Datuk Rosman Abdullah yang mengambil alih majoriti saham syarikat pembinaan itu pada 2012 daripada kumpulan perniagaan berkaitan Jho Low.

Menurut Amir Hamzah, Bahagian Penyelidikan TH pada asalnya tidak bersetuju dengan cadangan penilaian RM206 juta bagi pegangan 30 peratus itu dan menganggarkan nilainya sekitar RM124 juta hingga RM155 juta, namun RM193.5 juta akhirnya diluluskan tanpa justifikasi bertulis bagi peningkatan nilai dan pegangan daripada 25 kepada 30 peratus.

"Due diligence (langkah wajar) turut dilakukan hanya selepas semua kelulusan diperoleh dan tidak dibentangkan kepada panel pelaburan atau lembaga pengarah sebelum perjanjian ditandatangani.

"Penilaian fakta terhad 2023 pula merekodkan corak yang sama pada peringkat proses, dengan empat pelaburan tidak melalui due diligence yang diperlukan, dan saranan Jabatan Pengurusan Risiko tidak ditangani dengan sewajarnya," kata beliau.

Beliau turut memberitahu satu fakta yang tidak pernah didedahkan kepada pembuat keputusan ialah penjual memperoleh keseluruhan pegangan ekuiti syarikat dengan harga RM260 juta pada 2012 atau RM78 juta sekiranya dikira 30 peratus, dan dua tahun kemudian, TH membayar pada penilaian RM193.5 juta, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda daripada nilai 2012.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas dua janji berkenaan gagal ditunaikan, TH melaksanakan opsyen jual bernilai RM210.7 juta pada Mac 2018 dan menuntut penjual mengambil semula saham tersebut, namun bayaran tidak dibuat. Setakat tahun kewangan 2024, pelaburan RM193.5 juta itu telah dirosot nilai sepenuhnya.

Amir Hamzah berkata TH kini membuat tuntutan di mahkamah dengan writ telah difailkan dan Injunksi Mareva bagi membekukan aset telah diperoleh manakala mediasi yang diarahkan mahkamah ditetapkan hari ini dan perbicaraan pada 23 Jun 2027.

Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) membangkitkan peranan Jho Low dalam Putrajaya Perdana dengan merujuk kepada rekod kes SRC International serta mempersoalkan pelaburan dana pendeposit TH dalam syarikat berkenaan.

SRC International Sdn Bhd merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan didakwa pernah dikawal secara rahsia oleh Jho Low melalui syarikat UBG.

-- BERNAMA