Ekonomi 11/08/2026 09:05 PM

Casuarina Meru Sasar Kadar Penginapan Hotel 62 Peratus Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Casuarina Meru Sasar Kadar Penginapan Hotel 62 Peratus Tahun Ini
Kredit foto: Harith Nizar

IPOH, 11 Ogos (Bernama) -- Casuarina Meru Sdn Bhd menyasarkan peningkatan kadar penginapan keseluruhan kepada 62 peratus bagi hotel bertaraf empat bintangnya, Hotel Casuarina@Meru tahun ini, didorong pertumbuhan positif sektor pelancongan domestik dan momentum kehadiran pengunjung yang berterusan.  

Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata sasaran itu turut berasaskan prestasi perniagaan untuk tempoh Januari hingga Julai tahun ini yang merekodkan hampir 33,000 kehadiran tetamu, sekali gus meningkatkan kadar penginapan keseluruhan kepada 55 peratus berbanding 50 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.  

"Peningkatan pencapaian ini seiring dengan peningkatan jumlah pelancong domestik yang memilih Perak dan negeri-negeri lain sebagai destinasi utama berbanding ke luar negara. 

"Sasaran 62 peratus ini disokong oleh momentum pelanggan korporat dan individu yang terus menunjukkan trend positif," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program kesetiaan Casuarina Rewards di sini hari ini.

Hotel Casuarina@Meru di Bandar Meru Raya di sini ialah hotel bertaraf empat bintang yang terkenal dengan kemudahan penginapan yang luas, selesa dan moden.

Mohd Azhar berkata syarikat turut merancang projek untuk menaik taraf kemudahan di hotel berkenaan, merangkumi pembaharuan hiasan dalaman, peningkatan fasiliti dewan bankuet berkapasiti 1,000 orang serta cadangan pembinaan kolam renang bagi memberi nilai tambah kepada pelanggan.  

Mengenai Casuarina Rewards, katanya program itu menawarkan tiga kategori keahlian iaitu Silver, Gold dan Platinum bagi memperkukuh strategi pemasaran dan hubungan jangka panjang bersama-sama pelanggan selepas 13 tahun beroperasi.

"Casuarina Rewards bukan sekadar program kesetiaan pelanggan, sebaliknya inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen Hotel Casuarina@Meru untuk memperkukuh hubungan jangka panjang bersama pelanggan selain meningkatkan daya saing syarikat dalam landskap industri hospitaliti yang semakin kompetitif," katanya.  

Beliau berkata program itu memberikan manfaat berbeza mengikut tahap kesetiaan pelanggan, dengan semua ahli akan bermula pada kategori Silver dan berpeluang dinaik taraf secara automatik kepada kategori Gold serta Platinum apabila mencapai jumlah mata ganjaran yang ditetapkan.

Mata ganjaran yang dikumpulkan boleh ditebus dengan pelbagai ganjaran menarik termasuk penginapan percuma, baucar makanan dan minuman, produk hotel serta pelbagai keistimewaan eksklusif yang ditawarkan oleh Hotel Casuarina@Meru dan rakan strategiknya, katanya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata selain memfokuskan pemodenan fasiliti sedia ada di Meru, syarikat itu turut mengkaji prospek pembangunan semula hotel di Teluk Intan serta peluang pengembangan jenama Casuarina ke luar Perak.  

-- BERNAMA