Am 11/08/2026 11:29 PM

Laksana Audit Forensik TH Secara Menyeluruh, Siapkan Dalam Tempoh Setahun - Ahli Parlimen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Laksana Audit Forensik TH Secara Menyeluruh, Siapkan Dalam Tempoh Setahun - Ahli Parlimen
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan digesa untuk segera menjalankan audit forensik secara menyeluruh dan telus terhadap pengurusan dana Lembaga Tabung Haji (TH) dan menyiapkannya dalam tempoh setahun.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata langkah itu penting berikutan kelemahan tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan dana TH seperti didedahkan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.

“Audit forensik bebas amat penting untuk menjejak aliran dana, mengenal pasti unsur penipuan dan salah guna kuasa serta kecuaian yang mungkin telah berlaku.

“Sesiapa saja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata bekas perdana menteri itu dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan RCI TH, di Parlimen hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata penemuan laporan berkenaan yang antara lain mendedahkan TH antara 2014 hingga 2020, mencatat kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM10 bilion hingga RM12.6 bilion perlu diberikan perhatian serius dan disusuli tindakan tegas tanpa kompromi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pula menggesa kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) bagi menyiasat 14 pelaburan bermasalah TH yang dikenal pasti menerusi Laporan RCI.

Beliau berkata pasukan itu perlu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak secara bersendirian.

“Kerajaan perlu mengumumkan penubuhan Multi-Agency Task Force untuk siasat setiap satu daripada 14 pelaburan yang ada, yang telah terbukti bermasalah, dan memperluas skop kepada FELDA, FGV, Eagle High.

“...supaya akhirnya kita dapat tahu siapa yang menyebabkan masalah ini berlaku dan kerugian ini akhirnya terbukti,” katanya yang turut mencadangkan pelaksanaan audit forensik terhadap pelaburan bermasalah tersebut.

Senada dengan beliau, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mencadangkan supaya SPRM dan PDRM serta agensi penguatkuasaan berkaitan supaya mengemas kini secara berkala dalam tempoh masa yang jelas berhubung semua siasatan susulan penemuan RCI berkenaan.

Hasni turut mencadangkan agar sidang Khas Parlimen hari ini menjadi permulaan kepada pengawasan Parlimen yang berterusan, dwipartisan dan berasaskan institusi bagi memastikan pelaksanaan semua syor RCI dipantau secara berkala serta dilaporkan kepada Dewan Rakyat.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti Laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.

Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan TH setakat 30 Julai lepas.

-- BERNAMA