KOTA BHARU, 11 Ogos (Bernama) -- Dua remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Kampung Batu Lada Aur Duri, Kuala Krai petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan ketika dihubungi berkata bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.39 petang sebelum mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai ke lokasi.
Menurut jurucakap berkenaan, pasukan yang tiba di lokasi kejadian pada 6.46 petang berdepan cabaran apabila hujan lebat.
“Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Kuala Krai dengan sebuah jentera Fire and Rescue Tender serta sebuah kenderaan utiliti Hilux.
“Setakat ini, identiti kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Rayyan Hakimi dan Luth Naim manakala operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan,” katanya.
-- BERNAMA