Dunia 11/08/2026 09:09 PM

Lebih 2,000 Kematian Akibat Ebola Di DR Congo - Africa CDC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 2,000 Kematian Akibat Ebola Di DR Congo - Africa CDC
Kredit: Reuters

NAIROBI, 11 Ogos (Bernama-dpa) -- Angka kematian akibat Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) meningkat kepada 2,011 orang, menurut kerajaan pada Selasa, hampir tiga bulan selepas wabak itu diumumkan secara rasmi, dengan virus berkenaan mengorbankan 45.9 peratus daripada mereka yang dijangkiti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seramai 4,381 orang dijangkiti Ebola dalam tempoh itu, dengan 704 daripadanya kini menerima rawatan di unit pengasingan. Virus berkenaan merebak melalui sentuhan fizikal dan sentuhan dengan cecair badan serta menyebabkan demam yang sangat mudah berjangkit, disertai cirit-birit dan pendarahan.

Pengarah agensi kesihatan Afrika, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), Jean Kaseya baru-baru ini berkata jumlah kes dan kematian dalam tempoh 12 minggu pertama wabak itu masing-masing lapan kali ganda dan lebih enam kali ganda berbanding tempoh sama ketika wabak terburuk di Afrika Barat setakat ini dari 2014 hingga 2016.

Wabak semasa yang membabitkan strain Bundibugyo menimbulkan cabaran besar kerana tiada vaksin atau rawatan khusus bagi strain berkenaan.

Terdapat kebimbangan bahawa 86 peratus kes baharu Ebola ketika ini tidak dapat dikaitkan dengan kontak kes yang telah disahkan.

“Kami percaya semakin banyak kes tidak dilaporkan,” kata Kaseya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), usaha membendung wabak itu dengan berkesan memerlukan pengesanan 95 peratus kontak.

-- BERNAMA-dpa