KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Hospital Thomson Kota Damansara (Thomson) menjadi hospital pertama di Malaysia yang memasang platform tenaga pembedahan bersepadu generasi baharu di bilik bedahnya.
Thomson dalam kenyataan hari ini memaklumkan inovasi itu memperkukuh keupayaan pembedahan invasif minimum serta meningkatkan pengalaman pesakit.
Sebagai hospital tertiari multidisiplin, Thomson menawarkan pembedahan invasif minimum dalam pelbagai bidang kepakaran melalui pendekatan laparoskopi, torakoskopi (VATS), endoskopi, artroskopi dan pembedahan mikro.
Thomson turut memperluas perkhidmatan pembedahannya dengan menawarkan dua prosedur terkini, iaitu Transoral Endoscopic Thyroidectomy Vestibular Approach (TOETVA), pembedahan tiroid tanpa parut yang dilakukan melalui mulut tanpa meninggalkan insisi yang kelihatan pada leher serta pembedahan laparoskopi untuk endometriosis, iaitu prosedur yang membolehkan diagnosis dan rawatan endometriosis dilakukan melalui hirisan kecil.
“Platform tenaga pembedahan bersepadu generasi baharu ini menggabungkan pelbagai teknologi tenaga pembedahan dalam satu platform, sekali gus melengkapkan pakar bedah dengan teknologi termaju yang menyokong ketepatan pembedahan yang lebih tinggi dan memendekkan tempoh keseluruhan prosedur,” katanya.
Pihak hospital memaklumkan dengan menggabungkan proses pembedahan tisu dan pengedapan salur darah pada satu platform, sistem itu membolehkan aliran kerja pembedahan dilaksanakan dengan lebih cekap, sekali gus membantu mengurangkan masa pembedahan, trauma pada tisu serta tempoh pemulihan jika sesuai secara klinikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Dr Savitha Dharan berkata hospital itu berhasrat menyediakan penjagaan pembedahan yang komprehensif dan berpandukan hasil di bawah satu bumbung.
“Dengan terus memperluas keupayaan pembedahan invasif minimum, kami memperkasakan pasukan multidisiplin untuk menentukan rawatan yang paling sesuai bagi setiap pesakit, di samping menyediakan penjagaan yang mengutamakan keselamatan, ketepatan dan hasil rawatan pesakit yang lebih baik,” katanya.
Dr Savitha berkata pelaburan itu selaras dengan keutamaan hospital dalam menyediakan penjagaan berasaskan nilai, hasil rawatan pesakit yang lebih baik, kecekapan operasi serta nilai jangka panjang untuk pesakit dan pasukan klinikal.
Selain manfaat klinikalnya, platform tenaga pembedahan bersepadu termaju ini selaras dengan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Thomson dengan mengurangkan lebihan peralatan dan meningkatkan kecekapan bilik bedah.
Ini membolehkan pihak hospital mengoptimumkan penggunaan sumber sambil terus menyediakan penjagaan pesakit berkualiti tinggi.
“Pengenalan platform tenaga pembedahan bersepadu termaju itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaburan berterusan Thomson dalam teknologi perubatan terkini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hospital swasta terkemuka di Malaysia yang komited terhadap inovasi, kecemerlangan klinikal dan penjagaan berteraskan pesakit,” menurut hospital itu.
Thomson, hospital utama milik TMC Life Sciences Berhad, mempunyai kapasiti 554 katil dan menempatkan lebih 160 pakar perunding yang merangkumi lebih 60 bidang kepakaran dan subkepakaran perubatan.
-- BERNAMA