Am 11/08/2026 05:20 PM

WCT Sumbang RM34,000 Naik Taraf Pusat Pembelajaran BJCK

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
WCT Sumbang RM34,000 Naik Taraf Pusat Pembelajaran BJCK
Kredit: WCT Holdings Bhd

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Syarikat pegangan pelaburan WCT Holdings Bhd (WCT) menyumbang kira-kira RM34,000 untuk menaik taraf kawasan umum di pusat pembelajaran Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) di sini menerusi fasa kedua inisiatif WCTGives “Brightening Lives”.

WCT dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja naik taraf itu meliputi pintu masuk utama, tangga, bilik stor dan kemudahan pencahayaan pusat tersebut bagi meningkatkan keselamatan, mengoptimumkan ruang penyimpanan dan memastikan laluan akses serta pintu keluar kecemasan tidak terhalang.

Dua mural turut ditambah di kawasan pintu masuk bagi mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan menarik untuk komuniti BJCK.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan inklusif.

“Di WCT, kami percaya bahawa sokongan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan komuniti yang kami santuni. Melalui WCTGives ‘Brightening Lives 2.0’, kami berbesar hati untuk terus menyokong BJCK dengan membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak belajar dan membesar dengan lebih berkeyakinan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan tonggak #EducationforAll WCTGives yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses kepada peluang pembelajaran bagi komuniti yang kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah WCT Chong Wah Hing berkata persekitaran yang selamat, mudah diakses dan berfungsi memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti harian serta pengalaman pembelajaran kanak-kanak.

“Melalui Brightening Lives 2.0, kami menaik taraf ruang umum utama di pusat pembelajaran BJCK bagi memberikan keselesaan dan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar, pendidik serta pengunjung. Kami berharap penambahbaikan ini dapat menyokong usaha berterusan BJCK dalam membimbing dan mendidik kanak-kanak di bawah jagaannya,” katanya.

Pengasas Bersama dan Ketua Hala Tuju Strategik BJCK Siti Rahayu Baharin berkata kemudahan yang dinaik taraf itu bukan sekadar melibatkan penambahbaikan fizikal, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan banyak menyokong kanak-kanak.

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat persekitaran yang mampu memberikan sokongan dan selamat untuk belajar, membesar serta mengembangkan potensi mereka. Kami berharap ruang ini akan terus menyemai harapan, keyakinan dan rasa kebersamaan dalam kalangan kanak-kanak serta komuniti BJCK secara keseluruhannya,” katanya.

BJCK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Chow Kit, menyediakan sokongan pendidikan serta program pembangunan holistik kepada lebih 150 kanak-kanak dan golongan muda berusia antara tujuh hingga 18 tahun yang kurang bernasib baik dan daripada komuniti yang terpinggir.

Pusat pembelajarannya disokong oleh 18 orang pendidik yang menyediakan peluang pembelajaran berstruktur dalam persekitaran yang menyokong dan selamat.

-- BERNAMA