KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat dalam kepincangan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH).
Perkara itu disuarakan menerusi Himpunan Aman dan Penyerahan Memorandum Berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di pintu masuk utama Parlimen, hari ini.
Setiausaha SEKPUR Mohd Yani Alias berkata memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zairudin Hashim pada 12.35 tengah hari untuk diserahkan kepada Menteri Dr Zulkifli Hasan.
“Kita mahu kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya pesalah dalam isu TH dibawa ke muka pengadilan dan harus dicari sampai ke lubang cacing.
“Jika berlaku penyelewengan dan kerosakan, kita tidak kisah siapa atau dari parti mana sekalipun, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan tegas kerana TH adalah hak milik umat Islam,” katanya.
Selain tindakan terhadap pihak yang terlibat, SEKPUR turut membangkitkan kebimbangan mengenai kestabilan kewangan jangka panjang TH serta pengagihan hibah yang kompetitif kepada pendeposit.
Memorandum itu turut menyentuh kos menunaikan fardu haji selain menuntut ketelusan dalam pengurusan kuota haji.
Penyerahan memorandum itu diadakan susulan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini berhubung Laporan RCI TH serta usaha memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut.
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan setakat 30 Julai.
-- BERNAMA