Am 08/08/2026 01:51 AM

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Selamat Dikebumikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Selamat Dikebumikan

DUNGUN, 7 Ogos (Bernama) -- Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, anggota polis yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, Sabah semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2 dekat sini pada 1.15 pagi ini.

Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Felda Kerteh 2 pada 11.40 malam untuk penghormatan terakhir serta solat sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebelum itu jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendarat di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang serta dibawa menggunakan van jenazah ke Felda Kerteh 2.

Solat jenazah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu Datuk Satiful Bahari Mamat.

Jenazah Allahyarham tiba di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2 pada 12.15 tengah malam dan proses pengebumian selesai kira-kira sejam kemudian.

Antara yang hadir Ketua Polis Daerah Dungun Supt Nik Ab Halim Nik Mat, kira-kira 200 pegawai dan anggota polis, ahli keluarga serta rakan Allahyarham.

Allahyarham Muhammad Raimi yang masih bujang dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula bertugas di Balai Polis Weston pada September 2024.

Semalam Bernama melaporkan tiga anggota polis lelaki maut dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort pada 5.50 petang.

Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Koperal Chiu Teck Siong, 40.

-- BERNAMA