Am 08/08/2026 01:30 AM

Kaedah Baharu Kenaikan Pangkat Suntikan Moral Warga PDRM, ATM - KPN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kaedah Baharu Kenaikan Pangkat Suntikan Moral Warga PDRM, ATM -  KPN
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan inisiatif kerajaan memperkenalkan kaedah baharu proses kenaikan pangkat sebagai satu pengiktirafan besar dan suntikan moral buat warga pasukan keselamatan itu serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata perkembangan itu amat dinantikan oleh seluruh warga PDRM dan mencerminkan perhatian kerajaan terhadap mereka yang memikul amanah serta tanggungjawab dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh kepimpinan negara atas perhatian yang diberikan terhadap agenda pemerkasaan kerjaya warga pasukan keselamatan negara.

“PDRM percaya sebarang penambahbaikan terhadap laluan kerjaya ini akan memberikan impak positif terhadap motivasi dan profesionalisme pegawai serta anggota dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak, Melaka berkata kerajaan secara prinsipnya bersetuju supaya proses kenaikan pangkat melibatkan warga ATM dan PDRM dipermudah serta dipercepat, selari dengan skim perkhidmatan awam yang lain.

Anwar berkata butiran mengenai kaedah baharu itu dijangka diumumkan sewaktu sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka pada 30 Ogos ini.

Menjelas lanjut, Mohd Khalid berkata PDRM kini menantikan perincian kaedah baharu tersebut dan menyatakan kesediaan pasukan itu untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya kelak.

Beliau berkata komitmen kerajaan itu menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga PDRM untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan profesionalisme serta memberikan perkhidmatan kepolisan terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara. 

-- BERNAMA