SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan penahanan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kandungan audio siar dipercayai menyentuh isu sensitiviti agama.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata pengacara bebas dan ahli perniagaan masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 60-an itu ditahan semalam selepas polis menerima laporan berkaitan kandungan terbabit pada Rabu.
“Polis menerima satu laporan mengenai satu kandungan klip video iaitu audio siar dibuat oleh dua individu yang membincangkan isu fahaman sekular dan liberal.
“Klip video itu telah dimuat naik menerusi platform media sosial dengan kandungan audio siar itu ada menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramsay berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298/504/505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan proses siasatan.
-- BERNAMA